Pelantikan pengurusan UiTM ikut Perlembagaan, Rukun Negara

uitm 1
uitm 1

KENYATAAN segelintir pihak mempertikaikan pelantikan portfolio tertentu dalam pendidikan negara dilihat sebagai amalan pertikaian tidak sihat.

Ini mengundang spekulasi dan pemahaman salah kerana merit pelantikan dalam sesebuah organisasi perlu berasaskan gabungan kemampuan individu, falsafah serta visinya selagi tidak bertentangan asas pembentukan negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Asas pelantikan sesebuah institusi pendidikan berkaitan seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM) adalah selaras keperluan dan objektif penubuhan universiti awam (UA) negara.

Matlamat penubuhan UiTM bukanlah hanya untuk membentuk kemajuan dalam sektor akademik, bahkan lebih kepada membawa semangat dan inspirasi ketamadunan bangsa dan negara dalam kerangka berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

UiTM melalui pelbagai tahap pembangunan, menerajui kepentingan pendidikan negara dan menjadi institusi pendidikan terbesar, malah antara terbesar di dunia.

Misi dan visi khususnya, berlatarbelakangkan agenda Melayu untuk memperkasakan anak bangsa, tetapi pada masa sama memberikan limpahan sosioekonomi kepada rakyat berbilang kaum.

Harus diingat, UiTM ditubuhkan berdasarkan terjemahan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan UiTM yang menggariskan Canselor UiTM adalah Yang di-Pertuan Agong.

Kompentensi pelajar UiTM diperakui sama ada dalam pentadbiran kerajaan atau sektor swasta. Barisan kepemimpinan dilantik menggunakan ramuan asas berjalan sekian lama merangkumi keunikan UiTM tersendiri.

Ia gah sebagai insitusi pendidikan dengan falsafah pendidikan terbuka walaupun sering dilabel dan menjadi sasaran kumpulan antitesis yang gagal memperjelaskan kemajuan dan pembangunan negara berasaskan tunjang pembangunan serta perpaduan negara.

Pemahaman total elemen berkepentingan negara perlu diterjemahkan dalam falsafah induk kepada pengurusan, pentadbiran, pengoperasian kakitangan serta pembelajaran pelajar UiTM kerana ia konteks sebenar asas penubuhannya.

Tiada istilah konservatif dalam pembangunan negara, malah asas utama mengandungi elemen itu perlu dipertahankan dalam menghadapi cabaran dunia lambakan informasi dan keterujaan membina kemodenan dalam acuan salah.

Prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara perlu dipelihara dalam konteks cabaran kompleks hari ini dengan pelantikan pengurusan UiTM tidak boleh lari daripada elemen asas terbabit.

Malaysia perlu terbuka membawa perubahan pelbagai sektor boleh membawa kemajuan. Justeru, UiTM juga mengadaptasi elemen kepentingan global seperti 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Ia digunakan bagi mengukur kemajuan pembangunan perisian, keperluan indeks pencapaian akademik bagi pelajar, tenaga pelajar dan penambahbaikan silibus pendidikan universiti.

Bagaimanapun ideologi asas mendukung perpaduan negara dan pemeliharaan kepentingan Bumiputera berlandaskan Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara perlu kekal dipelihara tanpa kompromi.

Apatah lagi sekiranya ia daripada tekanan nakal segelintir pihak membentuk pola pertikaian berasaskan penghujahan dari kerangka am global.

UiTM perlu diperakui dan dipertahankan secara stategik melalui pelantikan tokoh yang memegang teguh ideologi teras falsafah pendidikannya.

Dari segi kemajuan akademik, UiTM membangunkan sistem pengoperasian dan penambahbaikan serta pemantauan dan hala tuju untuk kekal kompetitif selaras pelan pembangunan akademik serta dasar pendidikan kerajaan.

Alumni UiTM perlu berbangga kerana mereka produk hasil integrasi pembangunan sahsiah dibangunkan berteraskan nilai sebenar Malaysia. Penerimaan ijazah akademik juga adalah kompetitif dan selaras keperluan terkini industri.

Struktur pembangunan negara demokrasi Raja Berlembagaan perlu terus didokong warga UiTM. Penghujahan dan pertikaian menganggu-gugat asas pembentukan negara perlu dihujahkan dari asas itu.

Pembentukan ketamadunan dan keterujaan mencapai kemajuan teknologi adalah pacuan utama. Malah, Malaysia tidak ketinggalan mengadaptasi pembangunan ketamadunan dunia dengan menerapkan elemen hak asasi, pembangunan kemanusiaan serta keselamatan keinsanan diperkenalkan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun, acuan ini perlu digubah secara strategik dan dimplementasikan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Rakyat perlu terus bersama mempertahankan ideologi asas kenegaraan yang terbukti menjadi formula perpaduan negara dan pembangunan tanpa meminggirkan mana-mana warga.

Pembangunan negara dizahirkan dalam pembentukan sektoral memperhalusi kepentingan rakyat diterjemahkan dalam Belanjawan dan penggubalan Rancangan Malaysia, termasuk dasar pendidikan negara.

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perangsaraf Media & Informasi, Universiti Teknologi MARA

artikel asal: https://www.bharian.com.my/kolumnis/2021/06/832251/pelantikan-pengurusan-uitm-ikut-perlembagaan-rukun-negara

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan