‘Usaha diharap redakan suhu politik’

Ismail Sabri (tengah) ketika sesi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi Dan Kestabilan Politik Di Antara Kerajaan Persekutuan Dan Pakatan Harapan di Bangunan Parlimen.

KUALA LUMPUR: Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) semalam, diharap dapat meredakan suhu politik yang banyak mengganggu perancangan kerajaan sebelum ini.

Penganalisis keselamatan dan politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata dengan cara itu hal kepentingan rakyat dapat dibangunkan secara mikro melalui percambahan idea daripada kedua belah pihak.

“MoU ini dapat menyatukan suara dari blok kerajaan dan pembangkang menjadi mercu tanda kepada pentadbiran yang bersifat mikro serta mengutamakan kepentingan rakyat enam perkara terangkum dalam MoU itu mesti dianalisis secara terperinci dan perinciannya harus dimaklumkan kepada rakyat,” katanya kepada BH, semalam.

Beliau mengulas MoU yang ditandatangani secara bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut menandatangani MoU itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Noor Nirwandy berharap blok kerajaan dan pembangkang mengangkat MoU itu sebagai perkara yang ‘suci’ dan tidak membelakangkannya untuk kepentingan politik peribadi, wajar dijadikan teras kerjasama dwi-partisan yang menyeluruh, sekali gus mengurangkan politiking sewaktu negara bergelut dengan COVID-19 dan masalah ekonomi.

“Sudah tentu kita juga tidak mahu MoU ini dipertikaikan dari aspek pelaksanaannya kerana akan menimbulkan kembali suasana tidak baik kepada suhu politik negara,” katanya.

Sarjana sains politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Jayum Jawan pula berkata, kerjasama politik merentasi parti perkara biasa di mana-mana negara demokrasi bagi mengurus kepentingan rakyat seperti kerajaan Demokrat di Amerika Syarikat yang pernah berusaha mendapatkan sokongan Republikan untuk belanjawan diluluskan.

“Di Malaysia, hal ini jarang kerana sebelum 2018, kerajaan memerintah dengan majoriti amat besar dan tidak memerlukan sokongan merentasi parti. Berbeza sejak 2018, tiada parti politik ada sokongan majoriti mutlak, maka politik mendapat sokongan merentasi parti jadi seperti perkara baharu dan diuar-uarkan sebagai luar biasa,” katanya.

Berpandangan kerjasama politik juga sepatutnya tidak melibatkan tanda tangan, sebaliknya memadai dengan kata-kata dimeterai dengan cara berjabat tangan, Jayum berkata: “Apabila perlukan tanda tangan untuk memastikan ia dipatuhi, maka manusia sudah hilang integriti dan keikhlasan.

Sementara itu, Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) dalam satu kenyataan, menyifatkan MoU itu sebagai pencapaian bersejarah politik tanah air kerana semangat rentas parti diutamakan berbanding retorik, tindakan bersendirian dan politiking tidak berkesudahan.

“Persefahaman itu berpaksikan keperluan kestabilan politik bagi pengurusan pandemik COVID-19 yang lebih baik dan memulihkan ekonomi. BERSIH 2.0 mengalu-alukan janji untuk menerbitkan butiran MoU itu supaya rakyat bukan sahaja menyaksikan majlis itu, bahkan turut bertanggungjawab memenuhi terma dijanjikan,” katanya.

Walaupun dipanggil MoU, BERSIH 2.0 berpandangan ia pada dasarnya adalah Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) dengan pelaksanaan beberapa reformasi institusi dan dasar dipersetujui sebagai pertukaran pembangkang menyokong kerajaan dalam undi percaya dan Rang Undang-Undang (RUU) Belanjawan 2022.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan