Kuala Lumpur: Penipuan pelaburan tidak wujud ini jelas menggunakan khidmat ramai ‘pelakon robot’ penipu.
Penganalisis Keselamatan dan Politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, golongan tamak dan gelojoh mahu cepat kaya paling mudah dijerat oleh sindiket yang menawarkan pulangan pelaburan tidak masuk akal.
Menurutnya, orang ramai seharusnya tidak terlalu mudah terpengaruh dengan taktik sindiket yang memburu korban mangsa penipuan pelaburan melalui aplikasi Telegram.
“Kebiasaannya sindiket memanfaatkan keistimewaan aplikasi Telegram yang membolehkan mereka ‘menarik’ sesiapa sahaja masuk ke dalam kumpulan diwujudkan.
“Walaupun tanpa keizinan tuan punya badan, namun sindiket sewenang-wenang akan akan memasukkan mangsa ke dalam pelbagai kumpulan pelaburan di Telegram. Sindiket akan mengguna pakai nama syarikat terkemuka serta logo syarikat berkenaan untuk menyakinkan mangsa.
“Biasanya kumpulan Telegram itu turut disertai beratus individu yang kononnya meraih keuntungan besar melalui pelaburan ditawarkan.
“Ini semua adalah ‘skrip lakonan’ licik membabitkan ramai ‘pelakon robot’ yang digunakan untuk meyakinkan mangsa untuk turut serta melabur,” katanya.
Menurutnya, semua pelakon ini akan memberikan testimoni palsu secara harian dengan memuji skim pelaburan disertai mereka.
“Pelakon ini akan mendakwa memperolehi keuntungan besar selepas melabur selain menyertakan bersama gambar keuntungan wang pelaburan diperolehi.
“Bagaimanapun struktur ayat digunakan semua individu yang memberi testimoni ini hampir sama. Mereka menggunakan gaya bahasa ‘pelik’ dan ayat sama yang boleh menimbulkan rasa curiga.
“Tidak ada proses soal jawab dalam kumpulan Telegram ini. Setiap pertanyaan perlu dihantar terus kepada ‘admin’ kumpulan Telegram berkenaan,” katanya.
Malah penjenayah licik ini mencipta bukti transaksi dan resit bank palsu untuk meyakinkan mangsa turut sama melabur.
“Lebih 100 ahli kumpulan telegram ini adalah ‘pelakon robot’ dikendalikan individu sama menggunakan sistem khas. Malah suspek boleh mengendalikannya serentak,” katanya.
Noor Nirwandy turut menasihati orang ramai lebih berhati-hati dalam menyertai skim pelaburan yang menawarkan keuntungan tinggi dalam masa yang singkat.
“Ini kerana setiap pelaburan dibuat perlu mendapat kelulusan dari Bank Negara Malaysian (BNM) dan dijamin patuh syariah,” katanya.
artikel asal:https://www.hmetro.com.my/utama/2022/03/821789/guna-pelakon-robot-penipu