PH perlu ‘khemah besar’ jika mahu tawan Putrajaya

Tanpa pendekatan ‘khemah besar’, kedudukan PKR akan sama dengan keadaan pada PRN Melaka, Johor dan Sarawak, iaitu dimalukan dengan kekalahan teruk, kata penganalisis.

PETALING JAYA: Konsep “khemah besar” bukan langkah mundur, sebaliknya diperlukan bukan sahaja untuk PKR, tetapi sekutu lain dalam Pakatan Harapan (PH) jika ia mahu menawan Putrajaya, kata penganalisis politik dan geostrategi, Azmi Hassan.

“Saya tidak nampak langkah ‘khemah besar’ itu langkah mundur. Sebenarnya ia satu langkah ke hadapan, seperti yang berlaku ketika pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“PKR dan juga PH memerlukan ‘khemah besar’, jika ia ingin menubuhkan kerajaan persekutuan. Kalau mereka hanya bercita-cita menjadi pembangkang, maka tidak perlulah ‘khemah besar’,” katanya ketika dihubungi FMT.

https://www.youtube.com/shorts/HW9uVeg1v6w

Mengulas lanjut beliau berkata, tanpa pendekatan “khemah besar”, kedudukan PKR akan sama dengan keadaan pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, Johor dan Sarawak, iaitu dimalukan dengan kekalahan teruk.

Sementara itu, penganalisis keselamatan dan politik, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pendekatan “khemah besar” relevan jika rakyat bersikap pasif politik yang memberi kelebihan kepada parti besar seperti Umno, PKR, DAP, MIC dan MCA mengukuhkan kedudukan masing-masing.

Namun katanya, jika pendekatan “khemah besar” jelas tersasar dan gabungan yang dibentuk ditolak rakyat – seperti yang berlaku selepas PRU14, apabila kerajaan pimpinan PH tumbang akibat pergolakan dalaman – maka PH perlu memulakan proses rekonsiliasi dan bergerak bersendirian.

“Ini jelas apabila dominasi parti tertentu mula diragui rakyat, terutama berhubung kepentingan dari aspek Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan. Justeru menjadi asas yang relevan bagi pendekatan ‘khemah besar’ dilihat dari konteks berbeza.

“Apabila ini berlaku, sudah tentu tiba masanya bagi parti yang berada dalam gabungan pembangkang, khususnya PKR melihat nilai tambah sebenar yang diberikan bagi menunjukkan ia masih relevan dalam memperjuangkan hak rakyat.”

Konsep “khemah besar” menjadi perdebatan dalam kalangan ahli PKR sendiri. Terdahulu, calon ketua Pemudanya, Fahmi Zainol berpandangan penggunaan pendekatan itu dalam pilihan raya umum ke 15 (PRU15) merugikan dan berisiko menggadaikan prinsip parti.

Bagaimanapun beberapa pemimpin PH, termasuk Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution dan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menyarankan agar gabungan itu membuka pintu rundingan dengan semua parti pembangkang, termasuk Bersatu dan PAS, bagi memastikan pembangkang ampuh dalam menghadapi Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

Artikel asal: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/05/13/ph-perlu-khemah-besar-jika-mahu-tawan-putrajaya-kata-penganalisis/

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan