PETALING JAYA: Seorang penganalisis berpendapat bahawa Umno berhak menentukan calon sesuai untuk mewakili gabungan Barisan Nasional (BN), walaupun parti komponen MIC sebelum ini pernah memberi amaran untuk tidak menggadaikan kerusi tradisinya kepada “Friends of BN”.
Penganalisis keselamatan dan politik, Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata, MIC perlu sedar bahawa parti itu dilihat kurang daya penarik dalam beberapa siri pilihan raya negeri sebelum ini berbanding rakan komponennya Umno yang lebih dominan dalam menarik semula sokongan kepada gabungan BN.
“Perlu ingat bahawa Umno parti dominan dan kemenangan BN dalam PRN menunjukkan BN ada teraju yang kuat khususnya daripada kekuatan ahli Umno itu sendiri.
“Umno sebenarnya ada hak untuk tentukan hala tuju BN dan keputusan PRN lepas juga membuktikan MIC dan MCA gagal mainkan peranan atau menyumbang ke arah kemenangan kerusi yang harus dimenangi mereka,” katanya kepada FMT.
Beliau juga tidak menolak akan berlaku percanggahan pendapat dalam kalangan kepimpinan MIC dan BN berhubung jaminan Pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini bahawa gabungan itu tidak akan meminggirkan jasa parti “Friends of BN” menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Bercakap di hadapan ribuan perwakilan BN sempena Konvensyen BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) Rabu lalu, Zahid berkata. beliau akan berunding dengan semua komponen BN serta “Friends of BN” untuk menentukan calon sesuai bagi mewakili gabungan itu.
“Tindakan presiden Umno menawarkan kerusi kepada ‘Friends of BN’ sudah dijangka berikutan keadaan politik semasa yang memerlukan jajaran politik baharu untuk memenangi hati pengundi. (Namun) sudah tentu akan ada percanggahan dalam kalangan parti MIC dan BN,” kata Nirwandy.
Enam parti “Friends of BN” adalah Barisan Kemajuan India Se-Malaysia, Kongres India Muslim Malaysia, Parti Makkal Sakti Malaysia, Parti Bersatu India Malaysia, Parti Cinta Malaysia dan Parti Punjabi Malaysia.
Bagaimanapun, Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia (USM) berpandangan bahawa jaminan presiden Umno itu sekadar “angin lalu” bagi menambat hati parti kecil berkenaan untuk tidak berpaling tadah kepada Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, Zahid pada dasarnya tidak akan mampu memuaskan hati semua parti serpihan “Friends of BN” dan pada masa sama perlu menjaga hati “rakan serumah”.
“Ia hanya cubaan mengambil hati parti ‘Friends of BN’ agar mereka tidak ‘berpaling tadah’ menyokong PH.
“Saya tidak rasa Umno rela korbankan sokongan MIC. Tambahan pula MIC masih menguasai sebahagian besar komuniti India. Ia cuma memastikan undi tradisi BN tetap memangkah BN dalam PRU15 nanti,” katanya.
Pada Februari lalu menjelang PRN Johor, Presiden MIC, SA Vigneswaran berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah sekiranya BN mahu mengagihkan kerusi kepada “Friends of BN” tetapi mestilah bukan daripada kuota partinya.