Pindaan akta wajar demi kepentingan awam

Kuala Lumpur: Cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dilihat mampu mengekang kegiatan lumba haram terutama membabitkan mat rempit yang membahayakan nyawa mereka mahupun pengguna jalan raya lain.

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pindaan itu amat wajar kerana membabitkan kepentingan awam.

“Akta sedia ada mungkin mencukupi, namun melalui pindaan hukuman yang lebih berat secara tidak langsung ia mampu memberikan pendidikan kepada golongan ini.

“Jika kita lihat sudah banyak usaha-usaha yang dilaksanakan kerajaan bagi menangani kegiatan mat rempit ini termasuk penguatkuasaan yang agresif dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, cadangan pindaan akta berkenaan perlu konsisten jika berlaku sebarang pertukaran pucuk pimpinan kementerian.

“Kita minta pihak kementerian untuk melakukan pindaan akta ini atas dasar kepentingan masyarakat, apabila berlakunya pertukaran pucuk kepimimpinan, usaha ini (pindaan) tidak tergugat,” katanya.

Semalam, Kementerian Pengangkutan bercadang untuk meminda APJ 1987 dengan hukuman lebih berat dalam usaha membanteras isu lumba haram serta aktiviti mat rempit di negara ini.

Cadangan pindaan hukuman membabitkan individu terbabit dalam lumba haram dan pihak lain yang menyokong kegiatan berkenaan.

Antara cadangan hukuman ialah menaikkan kadar saman minimum, penjara terhadap mat rempit yang menyebabkan kematian kepada pengguna jalan raya lain.

Untuk rekod, ia adalah kali ketiga pindaan akta berkenaan dilakukan selepas Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang mengenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah jalan raya membabitkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45 yang dikuatkuasakan.

Antaranya ialah pindaan Seksyen 41 APJ 1987 (Akta 333) membabitkan kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu atau membahayakan iaitu hukuman penjara selama lima hingga 10 tahun dengan denda RM20,000 hingga RM50,000.

artikel asal:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/08/870189/pindaan-akta-wajar-demi-kepentingan-awam

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email