Calon muka baharu, peratusan pengundi penentu kejayaan parti

gambar hiasan

SHAH ALAM – Penampilan calon muka baharu dan popular serta kadar peratusan keluar mengundi dijangka menjadi antara faktor penentu bagi persaingan antara parti-parti politik yang bertanding di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis.

Penganalisis politik, Dr Azmi Hassan berkata, perancangan Barisan Nasional (BN) Selangor untuk menampilkan muka baharu pada PRU kali ini pastinya akan memberi kelebihan untuk menarik sokongan di negeri yang mempunyai jumlah pengundi teramai di Malaysia, memandangkan parti itu kini berada dalam keadaan yang lebih selesa berbanding semasa PRU14 lepas.

“Calon baharu tidak semestinya calon muda, desas-desus Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil akan diangkat sebagai muka baharu akan bagi sedikit sebanyak tambahan satu ke dua kerusi untuk BN di Selangor,” katanya kepada Bernama.

Susulan keputusan Perikatan Nasional (PN) untuk bergerak solo dan kemunculan Gerakan Tanah Air (GTA) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada PRU, katanya, situasi itu secara tidak langsung memberi kelebihan kepada BN dengan jangkaan pecah undi dalam kalangan Melayu akan berlaku dalam parti pembangkang.

Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar mengumumkan BN akan menampilkan 21 muka baharu manakala Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PH akan meletakkan calon boleh menang dalam PRU15 tanpa mengira calon lama atau baharu.

PH menyandang 16 daripada keseluruhan 22 kerusi Parlimen di Selangor manakala BN (satu), Bersatu (tiga) dan PBM (dua) dan mungkin berhadapan dengan jangkaan peratusan keluar mengundi yang rendah.

Dalam pada itu katanya, keputusan kerajaan Selangor yang diterajui PH untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan Parlimen, mungkin akan menjadi strategi makan tuan buat pakatan itu kerana pengundi di luar Selangor perlu pulang mengundi dua kali dan barangkali terbeban dengan kos dan masa.

Bagi Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, pengumuman Noh ialah resipi sama digunakan oleh BN ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka yang terbukti berjaya.

 

kredit: https://www.sinarharian.com.my/article/228031/berita/politik/calon-muka-baharu-peratusan-pengundi-penentu-kejayaan-parti

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan