KUALA LUMPUR: Manifesto ditawarkan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), dilihat mempunyai persamaan dalam misi memulihkan ekonomi, mengatasi kos sara hidup rakyat serta meningkatkan urus tadbir melalui aspek integriti.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, berkata BN bagaimanapun dilihat sebagai ‘juara’ dalam penawaran bantuan kepada rakyat, menerusi Perancangan Amal dan Usaha BN (PADU).
Namun secara keseluruhan, beliau berkata, terdapat pengisian manifesto ketiga-tiga gabungan itu yang disifatkan berkemungkinan sukar dilaksanakan kerana boleh menambah beban pada kedudukan kewangan negara.
“Contohnya, skim bantuan pendapatan asas bagi isi rumah berpendapatan kurang RM2,208 yang dijanjikan BN, boleh memberi tekanan kepada perbelanjaan negara.
“Begitu juga PN yang ingin mempertimbangkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar, biarpun ia tidak tertakluk dalam PN BEST, iaitu tawaran manifesto gabungan itu.
“Berhubung PH pula, penghapusan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) secara bersasar juga boleh membebankan agensi berkenaan.
“Bagi saya, bantuan diberikan perlu berfokus untuk golongan memerlukan dan atas dasar itu, pemberian cuti bergaji pada hari lahir pekerja sebagaimana dijanjikan BN dilihat kurang sesuai,” katanya kepada BH, di sini.
Minggu ini, ketiga-tiga gabungan parti utama yang berentap pada PRU15 itu melancarkan manifesto masing-masing, dengan BN menampilkan PADU bersama 99 tawaran.
PN pula mengetengahkan 234 tawaran berteraskan 12 tunjang melalui 30 pendekatan, termasuk pengurangan bayaran balik pinjaman PTPTN, manakala PH pula memberikan 10 tawaran utama (PRU15) bagi memulihkan Malaysia dan membina ekonomi masa depan.
Seterusnya, Ahmad Martadha berkata, PH dilihat masih berada dalam gelanggang meraih undi dengan penawaran disifatkan populis membabitkan penghapusan tol yang pernah dijanjikan pada PRU14 dulu.
Berbanding BN serta PN, beliau berkata, manifesto PH juga dilihat memfokus untuk menarik pengundi di Sabah dan Sarawak dengan janji untuk memperkasakan dua negeri itu.
Sementara itu penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata berbanding BN dan PN, tawaran PH dilihat lebih mengambil pendekatan disifatkan selamat yang mana banyak pengisiannya ditampilkan secara umum.
Beliau berkata, BN pula dilihat lebih berani dengan mengetengahkan banyak janji yang memang diinginkan rakyat, khususnya dalam aspek bantuan.
“Banyak tawaran BN dan PN dilihat dibuat lebih spesifik yang disifatkan mesra rakyat, termasuk PN mahu memberikan cuti umum jika memenangi PRU15 dan skim bantuan pendapatan asas oleh BN.
“Begitu juga dalam aspek pemberian komputer riba kepada pelajar sekolah, pengajaran semua bahasa di sekolah, dan aspek percukaian yang mesra rakyat,” katanya.
kredit: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/11/1023431/pru15-manifesto-bn-pn-ph-dari-kaca-mata-penganalisis