Kuala Lumpur: Dasar keselamatan negara yang dirangka kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mewujudkan persekitaran selamat untuk rakyat dan komuniti perniagaan.
Antara dasar dilancarkan ialah Keselamatan Menyeluruh’ atau ‘Comprehensive Security’ (COMSEC); dasar industri pertahanan dan keselamatan; penubuhan Pusat Respon Scam Kebangsaan dan Dasar Keselamatan Negara.
Penganalisis Keselamatan dan Politik Dr Noor Nirwandy Mat Nordin berkata, COMSEC adalah satu komponen penting dalam Dasar Keselamatan Negara (DKN) yang menekankan aspek latih amal bagi menghadapi ancaman berhubung bencana alam, ancaman tradisional dan ancaman bukan tradisional.
“Ini adalah salah satu sumbangan kerajaan memperkasakan isu keselamatan negara, DKN adalah satu dokumen penting yang perlu difahami seluruh rakyat Malaysia dan agensi pelaksana.
“DKN yang memperkenalkan konsep COMSEC iaitu suatu doktrin baru yang bersesuaian dengan persekitaran keselamatan semasa dan tempoh mendatang,” katanya.

Menurutnya, melalui konsep ini, pengurusan keselamatan yang semakin kompleks dapat dikendalikan secara lebih terancang merentas pelbagai aspek dalam negara.
“Seluruh jentera kerajaan dan segenap lapisan masyarakat perlu memperkukuh kerjasama dan persefahaman dalam semua aspek, termasuklah pertahanan, keselamatan dalam negeri, sosial, ekonomi, alam sekitar, teknologi, pendidikan serta perihal perundangan.
“Kita perlu saling lengkap- melengkapi untuk memikul tanggungjawab ini demi memastikan rakyat negara ini dapat terus mengecapi nikmat keamanan,” katanya.
Noor Nirwandy berkata, antara nilai teras dalam DKN ialah Kedaulatan dan Keutuhan Wilayah; Kestabilan Sosio-Politik; Kesepaduan Nasional; Tadbir Urus Yang Baik; Keutuhan Ekonomi; Keadilan Sosial; Pembangunan Mampan; Keselamatan Rakyat dan Pengiktirafan Antarabangsa.
Sementara itu, penganalisis keselamatan Prof Dr Mohd Mizan Aslam berkata, langkah kerajaan adalah bertepatan bagi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.
“Pelbagai dasar dan polisi dilaksanakan antaranya penubuhan Pasukan Nukleus Single Border Agency bagi memperkukuhkan kawalan sempadan negara.
“Dengan penubuhan pasukan ini ia sekaligus dapat menguruskan kesepaduan dalam mengawal kawalan sempadan,” katanya.
Menurutnya, dengan adanya COMSEC yang menjadi elemen penting dalam DKN sekaligus boleh menerapkan pembentukan minda keselamatan dalam kalangan setiap rakyat.
“Ia seiring pernyataan Falsafah Keselamatan Negara. Tanggungjawab memastikan kemerdekaan negara ini berkekalan terletak di bahu kita semua.
“Setiap dari kita mempunyai peranan masing-masing di dalam memastikan Malaysia kekal wujud demi kelangsungan suatu negara yang mulia, bermaruah dan merdeka,” katanya.
Mizan berkata, dengan ketiga-tiga dasar dan polisi yang dilaksanakan negara kini berada di landasan yang tepat.
“Saya lihat langkah ini adalah sangat bertepatan dan mampu menjamin keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya.
artikel asal: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/11/901870/comsec-elemen-penting-dkn