KUALA LUMPUR: UMNO perlu menerima hakikat keterbukaan masyarakat Melayu hari ini jelas mereka memilih gabungan yang dilihat mampu berupaya mengekalkan dominasi politik Islam walaupun dengan cara atau parti berbeza.
Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, populariti UMNO sebagai parti Melayu kian merosot dengan semalam parti komponen Barisan Nasional (BN) itu mengalami kekalahan teruk dengan hanya mempertahankan 26 daripada 53 kerusi Parlimen berbanding PRU14.
Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, keputusan itu jelas membuktikan sokongan UMNO berkurangan dan pengundi beralih kepada Perikatan Nasional (PN).
“Sokongan itu digambarkan ‘tsunami hijau’, apabila daripada hanya 18 kerusi Parlimen dimenangi pada PRU14, PAS (semalam) menyapu 49 kerusi sekali gus jelas menunjukkan masyarakat mahu mengekalkan dominasi politik Islam.
“Peralihan kepada PN kerana pengundi merasakan BERSATU dan PAS, alternatif terbaik pada masa sekarang untuk memelihara kepentingan sosio-politik, ekonomi masyarakat Melayu Islam,” katanya kepada BH, hari ini.
Setakat tengah hari ini keputusan PRU15 menyaksikan Pakatan Harapan mendahului dengan 82 kerusi, PN (73), BN (30),WARISAN (3), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (6), Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) (1) dan Parti Bangsa Malaysia (1).
Noor Nirwandy berkata, keputusannya mendapatkan kuasa dengan secara singkat dengan membubarkan Parlimen ternyata menjadi jerat kepada parti itu.
Dalam perkembangan lain, kecenderungan pengundi kepada PN adalah petanda bahawa perkara termaktub Perlembagaan Persekutuan serta identiti negara, sesuatu yang tidak boleh diganggu-gugat.
“Dalam konteks ini, PAS konsisten menyatupadukan gabungan parti politik sekali gus memenuhi kehendak pengundi yang mahu gabungan atau parti yang mampu untuk bersama demi kepentingan agama, bangsa dan dominasi politik Islam merentasi kepentingan diri dan parti.
“Masyarakat Melayu amat sensitif dengan perkara berkaitan apa yang terkandung Perlembagaan Persekutuan, identiti negara.
“Justeru identiti bangsa Melayu perlu diberi perhatian kerana ia adalah komponen terpenting dalam kestabilan bagi memelihara nilai teras agama dan bangsa di dalam negara ini,” katanya.
Katanya sejak awal, PAS konsisten dan tidak pernah mengatakan mereka tidak mahu bekerjasama dengan UMNO, tidak pernah kata mahu PN, tetapi UMNO memberi kata dua, PAS memilih bersama PN sebab bagi dia (PAS) ia platform terbaik kepadanya dan akhirnya menyelamatkan dominasi politik umat Islam.
Dalam pada itu katanya, PN juga wajar mengambil pengajaran yang berlaku kepada UMNO, dengan lebih menguatkan jalinan permuafakatan politik Islam dengan penuh keikhlasan.
“Bagi UMNO pula, parti itu mungkin boleh merendah diri, mengetepikan kepentingan parti dan individu kerana tidak mustahil, untuk UMNO berada bersama PN.
“Bagaimanapun ia perlu dijalankan dengan niat untuk menyatupadukan kuasa politik Melayu dan bukan berniat menyaingi atau cuba mengubah apa yang sudah ada dan diperakui ramai sebagai struktur baharu yang boleh menimbulkan satu permuafakatan melalui PN melalui jalinan kerjasama dengan PAS,” katanya.
Tegasnya, jika UMNO memilih bersama PN, nilai tambah itu akan membentuk permuafakatan dan UMNO sebenarnya boleh menyelesaikan banyak masalah dan bertambah kuat.
“Dalam sejarah penterjemahan kuasa politik sosio-ekonomi, kepentingan dominasi politik tidak pernah mengetepikan kepentingan kaum lain dan ini yang perlu difahami.
“Jika dilihat dalam apa-apa perkara, dominasi politik ini tidak berjaya mengawal dan memberikan keselesaan dan kepercayaan kepada seluruh bukan Islam dan ini kekuatan PAS yang diperakui di Kelantan, Terengganu dan negeri lain apabila parti itu berjaya membentuk kecenderungan bagi masyarakat lain untuk memahami aspirasi pembangunan negara berteraskan Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi kekuatan ini perlu ada dalam PN, mereka kena bentuk satu asas teras pembangunan masyarakat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara bersama falsafah keselamatan negara,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Syed Abdullah, berkata UMNO perlu ‘reset’ semula keseluruhan parti kerana penerimaan orang Melayu sudah hampir tiada.
“Populariti parti Melayu yang diwujudkan lebih 60 tahun ‘diambil peranan’ PN kerana UMNO kurang elemen ‘agama’ walaupun perjuangan untuk Melayu.
“Jadi apabila PN diwujudkan pengundi nampak kesempurnaan dan pemimpin BERSATU adalah dahulunya dari UMNO.
Sentimen ini menguatkan keyakinan Melayu Islam yang Perlembagaan Persekutuan akan tetap menjadi teras,” katanya.
Kredit: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/11/1028998/umno-perlu-terima-hakikat-keterbukaan-orang-melayu