KUALA LUMPUR: Gesaan supaya Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar ‘direhatkan’ daripada tugas sebagai menteri adalah kurang berasas selagi beliau belum disabitkan bersalah atas kes rasuah.
Penganalisis keselamatan dan politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata dari segi perundangan, Ahli Parlimen Batu Gajah itu tidak disabitkan dengan sebarang kesalahan dan dalam konteks itu, beliau belum didapati bersalah.
“Namun, dari sudut lain, keputusan untuk beliau direhatkan atau tidak terpulang kepada kewajaran dan budi bicara Perdana Menteri sendiri.
“Perkara ini perlu dilihat dari sudut persepsi. Perdana Menteri perlu melihat sama ada isu ini memberikan persepsi tertentu kepada kerajaan sebelum membuat keputusan,” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau berkata, secara dasarnya, tidak wajar timbul desakan terhadap mana-mana pihak untuk meletakkan jawatan selagi seseorang itu tidak didapati bersalah.
“Tetapi dalam konteks politik sekarang, banyak perkara berkisar kepada persepsi. Justeru, persepsi awam berkait kes sebegini harus diperbetulkan dan mereka perlu diberikan penjelasan secara baik dan strategik bagi membolehkan mereka memahami sesuatu isu.
“Perkara kedua yang perlu juga difahami oleh parti politik khususnya, ialah sama ada isu ini boleh menyebabkan masyarakat rasa kurang selesa terhadap usaha atau dasar polisi kerajaan yang sedang berlangsung,” katanya.
Noor Nirwandy berkata, Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak membuat pertimbangan dengan mengambil kira tiga faktor iaitu pertama, bahawa Sivakumar belum didapati bersalah.
“Kedua, persepsi rakyat terhadap kes ini mesti diambil kira dan ketiga, adakah kes ini akan menjejaskan persepsi rakyat terhadap revolusi ‘good governance’ yang sedang dijalankan kerajaan.
“Bagaimanapun, selagi tidak didapati bersalah, Sivakumar tidak wajar direhatkan kerana kita tidak boleh meletakkan isu persepsi atau khabar angin sebagai asas untuk buat hukuman.
“Tetapi dalam keadaan sekarang, persepsi rakyat terhadap kerajaan perlu diberi perhatian,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik yang juga peguam, Datuk Shamsuddin Nawawi, berkata sekiranya Sivakumar hanya seorang saksi yang membantu siasatan SPRM itu, maka tidak wajar beliau direhatkan sebagai menteri.
“Jika hanya saksi, tidak wajarlah untuk beliau dikenakan tindakan berhenti, gantung, atau sebagainya. Itu bukan peruntukan dan amalan undang-undang yang kita ada.
“Tetapi jika beliau adalah suspek, elok beliau direhatkan sementara daripada tugas, tidak dibenarkan masuk ke pejabat supaya tidak mengganggu siasatan,” katanya.
Katanya, dari segi moral dan keperluan memenuhi prinsip perjuangan politik mereka selama ini, Sivakumar wajar berundur namun perkara itu tidak akan berlaku.
“Sekiranya ini berlaku kepada Sivakumar (dipaksa bercuti daripada tugas), apa akan terjadi kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Timbalan Perdana Menteri).
“Sivakumar boleh kata Ahmad Zahid sudah pun dituduh di mahkamah, dijamin dan kes sedang berjalan (dibicarakan di mahkamah), mengapa beliau boleh bekerja, sedangkan dia (Sivakumar) belum apa-apa (tiada kes),” katanya.
Terdahulu, ada pihak menggesa Sivakumar bercuti sementara SPRM menyiasat dakwaan rasuah bernilai RM97 juta yang membabitkan beberapa pegawainya.
Gesaan dibuat Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), S Subramaniam dan menyifatkan tindakan itu dilihat wajar bagi mengelak daripada berlaku sebarang konflik kepentingan.
Pada 14 April lalu, SPRM menahan Setiausaha Sulit kepada Sivakumar bagi membantu siasatan kes pengambilan pekerja asing membabitkan nilai RM97 juta selepas seorang pegawai tugas-tugas khas turut direman.
Difahamkan, suspek direman empat hari bagi siasatan lanjut kes terbabit.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan berkenaan.
Kredit: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/04/1091583/gesaan-sivakumar-bercuti-kurang-berasas