PRN: Calon ‘heavyweight’ mungkin terkesan

Kuala Lumpur: Masyarakat Malaysia pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semakin cenderung menginginkan kestabilan, kematangan dan keselamatan politik yang baik berbanding pendekatan keras digunakan pihak tertentu.

Pandangan itu dilontarkan penganalisis keselamatan dan politik daripada Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, yang memaklumkan senario ketika ini sebenarnya masyarakat pasif politik.

Katanya, semasa bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, majoriti masyarakat seolah-olah tidak mahu bercampur atau pun berdiskusi dengan isu-isu politik khususnya apabila ada pihak mengheret keadaan politik kepada lebih radikal, ekstrem menggunakan elemen agak keras dalam berkempen.

“Pola pengundian sekarang semakin dinamik. Masyarakat mengundi atas kematangan dan kestabilan politik dan bukan atas sebab dasar kepimpinan yang menggunakan pendekatan keras, radikal dan agak keterlaluan dalam kempen politik

“Jadi dalam konteks ini berkemungkinan, calon ‘heavyweight’ seperti Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mungkin akan terkesan dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali Azmin juga akan menghadapi tugas sukar untuk memenangi pilihan raya kali ini.

“Di atas kertas, Sanusi mungkin mempunyai kelebihan tetapi Azmin mungkin sedikit kesukaran untuk memenangi kerusi berdasarkan masyarakat yang mahukan hak kestabilan dan kematangan politik. Masyarakat tidak mahu untuk jadikan politik ini sebagai satu bentuk seteru politik yang berterusan,” katanya.

Berbeza dengan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan, yang berpendapat Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah itu tiada masalah untuk memenangi kerusi ditandinginya kerana beliau sangat popular di negeri berkenaan.

Katanya, begitu juga Azmin kerana berdasarkan statistik PRU-15, saluran Hulu Kelang menyebelahi Azmin semasa bekas Menteri Besar Selangor itu kalah kepada ‘anak didiknya’ Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari di Parlimen Gombak.

Pada PRN Selangor kali ini, kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Hulu Kelang akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara Mohamed Azmin yang mewakili Perikatan Nasional (PN) menentang seorang lagi bekas ‘anak didiknya’ dalam politik, Juwairiya Zulkifli dari Pakatan Harapan (PH).

kredit: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/08/995934/prn-calon-heavyweight-mungkin-terkesan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan