Kuala Lumpur: Mandat terhormat ke arah pemilihan kerajaan di enam negeri ‘panas’ akan ditentukan hari ini melalui pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN).
Wujud pelbagai ramalan antaranya kelesuan terhadap pengundi, penurunan peratusan keluar mengundi selain peningkatan penyertaan jumlah pengundi muda (U18).
Ia berikutan golongan pengundi muda dilihat semakin matang selepas kali pertama mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tahun lalu.
Ramai pemerhati politik bagaimanapun berpandangan sokongan pengundi dalam kalangan anak muda tidak benar-benar konsisten dan mudah dipengaruhi media sosial.
Pandangan itu dilontarkan penganalisis keselamatan dan politik daripada Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin yang menjangkakan peratusan keluar mengundi hari ini hanyalah sekitar 65 ke 70 peratus berbanding 74 peratus ketika PRU 15 lalu.
Menurutnya, kemerosotan ini berpunca hilang keterujaan pengundi akibat jarak masa PRU-15 dan PRN yang tidak begitu jauh.
“Malah, wujud pengundi yang pasif dengan politik akibat ada pemimpin atau calon berkempen menggunakan pendekatan agak keras, isu dibawa melebihi had, adanya elemen keganasan dan radikal dalam kempen PRN.
“Apatah lagi pada kempen PRN kali ini, ianya tidak banyak bincangkan isu sosio setempat. Mereka (pemimpin politik) lebih banyak bincang isu kepartian dan sentimen terhadap individu berkaitan.
“Isu hangat keluar dan dibahaskan secara panas di platform media sosial dan pentas ceramah lebih dilihat berbentuk serangan peribadi atau terhadap parti lawan,” katanya
Menurutnya, semua keadaan ini tidak memberi elemen keterujaan seperti apa yang berlaku pada PRU- 15.
“Faktor kedua jangkaan kemerosotan pengundi adalah jurang perbezaan masa antara PRU-15 dan PRN kali ini. Ia memberi tempoh bertenang untuk masyarakat menilai dan melihat kestabilan serta keselamatan politik berada dalam keadaan baik ketika ini.
“Ia secara langsung memberi kelebihan kepada kerajaan perpaduan Pakatan Harapan (PH) dalam konteks berkaitan,” katanya.
Menyentuh jumlah pengundi muda, Noor Nirwandy menyifatkan golongan itu akan menjadi dominan, lebih bijak dan matang dalam menilai apakah maksud politik itu sebenar.
“Mereka akan lihat kempen politik dilakukan sebelum ini perlu lebih berkualiti dalam membincangkan isu kepentingan masyarakat setempat dan rakyat.
“Golongan muda akan hilang sedikit keterujaan. Melalui pandangan mereka…politik perlu dilihat lebih baik, matang dan memberi pengalaman mencukupi, sekali gus membolehkan mereka membuat keputusan wajar.
“Bagaimanapun jika pengundi muda menjadi dominan dan keluar mengundi dalam pola besar hari ini, pola itu berubah daripada ‘keterujaan’ kepada kematangan politik dan transisi memahami demokrasi matang dalam negara,” katanya.
Beliau meramalkan, faktor keutamaan pengundi dalam membuat pilihan mutlak adalah calon diketengahkan, selain parti gergasi yang mempunyai sokongan kuat akar umbi seperti Pas, Umno, Perikatan Nasional (PN), PKR dan DAP.
“Aspirasi rakyat pastinya terarah kepada kematangan, kestabilan politik dan perubahan sosio ekonomi negara. Ini akan menentukan calon serta parti mana bakal dipilih ketika mengundi.
“Melihat kepada semua ‘ramuan’ ini, gabungan parti memerintah negara khususnya parti dalam Kerajaan Perpaduan mempunyai sedikit kelebihan dalam konteks ini,” katanya.
Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jumlah keseluruhan pengundi muda di enam negeri bertanding PRN adalah seramai 661,905 orang.
Selangor mencatat bilangan pengundi muda berumur 18 hingga 20 paling ramai iaitu 274,194 berbanding negeri lain.
Kedua tertinggi ialah di Kedah iaitu seramai 104,284 pengundi muda, Kelantan (96,513), Pulau Pinang (67,633), Terengganu (64,264), manakala Negeri Sembilan (55,017).
kredit: https://www.hmetro.com.my/utama/2023/08/998386/hilang-selera-mengundi