Pemahaman peluang kemenangan UMNO dalam mewakili Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai perlu dilihat daripada pelbagai aspek.
Ledakan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu menyaksikan polarisasi pengundian agak ketara terhadap beberapa gabungan politik negara. Dalam perebutan 245 kerusi DUN bagi keseluruhan enam negeri jelas terdapat pola kecenderungan pengundian agak ketara.
Dari sudut undi popular, PH-BN diperakui masih mendahului dengan jumlah 49.69 peratus berbanding jumlah undi popular Perikatan Nasional (PN) sebanyak 49.31 peratus.
Status quo bagi pentadbiran enam negeri kekal dengan tiga negeri kekal di bawah PN dan tiga negeri kekal di bawah blok Kerajaan Perpaduan.
Ledakan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu menyaksikan polarisasi pengundian agak ketara terhadap beberapa gabungan politik negara. Dalam perebutan 245 kerusi DUN bagi keseluruhan enam negeri jelas terdapat pola kecenderungan pengundian agak ketara.
Dari sudut undi popular, PH-BN diperakui masih mendahului dengan jumlah 49.69 peratus berbanding jumlah undi popular Perikatan Nasional (PN) sebanyak 49.31 peratus.
Status quo bagi pentadbiran enam negeri kekal dengan tiga negeri kekal di bawah PN dan tiga negeri kekal di bawah blok Kerajaan Perpaduan.
Bagi segmen kaum Melayu, PN mendominasi undi Melayu seperti di Kedah, Kelantan dan Terengganu tetapi di Johor, kemenangan PH-BN dibantu sokongan pengundi pelbagai kaum khususnya kaum Melayu membuktikan ‘gelombang hijau’ tidak berjaya menembusi kubu kuat PH-BN termasuk mendapatkan sokongan ahli serta penyokong UMNO.
Ia suatu situasi amat menarik dalam membincangkan kekuatan UMNO dalam PH-BN. Apabila membincangkan perkara ini sudah tentu ia berkaitan dengan prestasi parti tertua negara, UMNO yang juga parti mempunyai legasi dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.
Adakah UMNO dilihat masih relevan dalam politik negara khususnya sebagai parti mewakili kaum Melayu? UMNO di zaman kemuncaknya dianggap watak penting dalam penyatuan kaum dalam negara.
UMNO adalah tunjang BN mempunyai sejarah membentuk keharmonian agama, kaum dan bangsa melalui pentadbiran bersama MIC dan MCA sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Formula diwujudkan ketika pentadbiran BN dilihat agak berjaya dalam membentuk satu teras perpaduan dan pacuan ekonomi negara sehinggalah pada 2018 menyaksikan kejatuhan BN.
Selepas itu kestabilan politik negara diuji dan masyarakat trauma dengan kepincangan politik negara sehingga terbentuknya Kerajaan Perpaduan dengan nasihat bijaksana Yang di-Pertuan Agong.
Kerajaan Perpaduan memartabat konsep Malaysia MADANI adalah perpaduan politik buat negara. MADANI dihuraikan bukan sekadar cogan kata tetapi asas peradaban dan ketamadunan negara. Ia adalah tiang asas kepada budaya hidup positif dibina melalui generasi masa kini demi masa hadapan negara.
Bina peradaban, ketamadunan
Di sinilah pentingnya untuk melihat sama ada peranan UMNO masih berwibawa dalam konteks bersama Malaysia MADANI dalam membina peradaban dan ketamadunan termasuk dari sudut agama, kaum dan bangsa khususnya Melayu.
Adakah UMNO dilihat sebagai parti masih mempunyai mempunyai seni lenggok mendukung dan menerajui budaya politik Melayu untuk kepentingan negara?
Justeru PRK DUN Pelangai amat dinantikan untuk melihat adakah UMNO masih diiktiraf dalam kalangan masyarakat pengundi di zon selesa parti terbabit.
PH-BN melalui calon UMNO dilihat mungkin mempunyai kelebihan dalam PRK DUN Pelangai melalui pengalaman calonnya, anak jati Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam, tambahan pula Pahang adalah kubu kuat UMNO.
Cogan kata ‘Tiada Janji Lihat Bukti’ digunakan pimpinan pentadbiran serta tatakelola Pahang juga dilihat agak menarik dengan memberikan tanggapan positif bahawa kebajikan masyarakat adalah misi politik pentadbiran negeri diterajui UMNO.
Penawaran pelbagai insentif seperti pemberian RM300 termasuk bar emas bernilai RM150 untuk setiap kelahiran bermula 2023 juga amat menarik untuk menjadikan pentadbiran Pahang lebih mesra masyarakat.
Penubuhan Majlis Biodiversiti Pahang dalam menasihati urusan kerajaan negeri untuk melindungi alam semula jadi dan sumber biodiversiti adalah langkah ke hadapan pentadbiran moden Pahang.
Agensi sokongan masyarakat seperti Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang juga ditubuhkan bagi membantu pemilikan kediaman rakyat Pahang.
Ia mencerminkan kesepaduan dasar dengan konsep masyarakat perlu dididik, dihargai dan diajak bersama menyumbang kepada kesejahteraan pentadbiran melalui situasi ‘menang-menang’ dalam teraju politik berkepentingan masyarakat.
Namun adakah faktor ‘gelombang hijau’ akan terus dihentikan seperti mana berlaku di Pulai dan Simpang Jeram hanya ditentukan pada 7 Oktober ini.
Konsep formula perpaduan diterajui dominasi politik Melayu amat penting dalam Kerajaan Perpaduan dan politik negara kerana tema perpaduan negara harus digariskan dengan perasaan suci hati serta bebas daripada elemen agak keterlaluan yang boleh menimbulkan elemen perpecahan dalam memelihara keharmonian negara.
Di sinilah mungkin letaknya kepentingan UMNO dalam terus memastikan kesepaduan dan perpaduan masyarakat terus dibina atas dasar toleransi ditunjangi dominasi politik Melayu Islam yang boleh memastikan tema perpaduan dibina atas diplomasi kesantunan politik Melayu.
Pimpinan dominasi politik Melayu Islam yang kuat harus diakui adalah tunjang perpaduan negara namun ia bukan semudah disangkakan dan tidak boleh dibina melalui strategi TikTok semata-mata mahu melonjakkan semangat membara anak muda.
Pimpinan diplomasi politik Melayu Islam adalah watak seni budaya semangat merdeka perlu sarat dengan identiti memperkasakan nilai serta watak dominasi politik Melayu Islam.
Namun, UMNO perlu bersaing dengan pengaruh ‘gelombang hijau’ untuk membuktikan ia parti berupaya menyulam perpaduan negara dan kepentingan kaum Melayu dengan penuh keterbukaan, bukan melalui kempen politik sempit bagi terus menjamin perpaduan serta perkembangan sosial ekonomi Pelangai serta Malaysia supaya kekal aman, sejahtera dan berdaulat.
Kredit: https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2023/10/1160515/pelangai-medan-umno-diiktiraf-parti-perpaduan-melayu-negara