PRK Kemaman: Pencalonan MB Terengganu strategi kekal pengaruh – Penganalisis

Menteri Besar PAS Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (kanan) dan bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

KUALA LUMPUR: Keputusan PAS mencalonkan Menteri Besar PAS Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman awal bulan depan sebagai strategi politik mengekalkan pengaruhnya.

Penganalisis politik berpendapat PRK Kemaman pada 2 Disember ini, pastinya menggamit perhatian ramai berikutan Barisan Nasional (BN) meletakkan bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon.

Pensyarah Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata perjalanan PRK itu akan diikuti rapat kerana menyaksikan pertembungan dua tokoh besar yang masing-masing berbeza latar belakang dan kewibawaan.

“Menteri Besar (Ahmad Samsuri) adalah tokoh besar dalam parti dan sangat disegani di negeri itu. Meskipun keputusan PAS meletakkannya sebagai calon sudah dijangka, tetapi ia menampakkan usaha parti itu membawa tokoh berwibawa mereka ke Parlimen.

“Justeru pertembungan dua tokoh besar itu bukan saja menjadi tumpuan tetapi perhatian kepada pola pengundian berikutan kerusi itu akan dipengaruhi banyak faktor termasuk faktor lokaliti, pengundi luar serta kesepaduan jentera.

“Ini kerana bagi kerajaan Perpaduan, usaha merampas kerusi itu penting kepada legitimasi politik, tetapi PAS ia legitimasi moral yang memberikan impak sangat besar sekiranya Ahmad Samsuri sebagai Menteri Besar kalah,” katanya kepada BH, hari ini.

PAS semalam mencalonkan Ahmad Samsuri yang juga Naib Presidennya bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman.

Ia diumumkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Ceramah Perdana Majlis Pengisytiharan Calon PAS PRK Kemaman di Dewan Terbuka Kemaman Arena Square, Terengganu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang berjaya mempertahankan kerusi berkenaan bagi penggal kedua dan ia penampilan pertama beliau bertanding di kerusi parlimen.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sementara itu, Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata keputusan PAS meletakkan Ahmad Samsuri menunjukkan BN mempunyai kekuatan yang berupaya memberi ancaman kepada penguasaan politik sepenuhnya di Terengganu.

Selain itu katanya, keputusan itu jelas menunjukkan PAS ingin mengekalkan momentum dan terus menguasai jentera pentadbiran peringkat negeri dan pusat serentak.

“Meletakkan Menteri Besar bertanding kerusi Parlimen bukan saja jelas strategi politik tetapi memperlihatkan PAS tidak mahu mengambil risiko atau memberi peluang kepada muka baharu menonjolkan diri.

“Daripada perspektif lain, ia strategi kurang demokratik pada masa kita menuju demokrasi terbuka yang mengharapkan lebih ramai pemimpin atau pelapis generasi muka baharu politik diberi peluang menerajui kepemimpinan baharu.

“Tindakan itu jelas tidak memperlihatkan keterbukaan demokrasi walaupun perkara itu boleh berlaku di negeri lain,” katanya.

Noor Nirwandy berkata strategi politik sebenar bukan semata-mata kepentingan parti tetapi harus dilihat kepada kepentingan ramai atau ruang untuk memilih calon baharu, lebih berpotensi supaya mereka menjadi pelapis kepada generasi kepemimpinan masa depan.

Kredit: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/11/1178211/prk-kemaman-pencalonan-mb-terengganu-strategi-kekal-pengaruh

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan