Segera Tambah Aset TLDM, Jangan Tangguh – Penganalisis

GAMBAR hiasan

Kuala Lumpur: Sebarang penambahan serta penambahbaikan terhadap aset-aset strategik keselamatan dan pertahanan negara perlu dilaksanakan dengan segera.

Ia bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terjaga selain terpelihara, kata Penganalisis Keselamatan dan Politik Dr Noor Nirwandy Mat Noordin.

Menurut beliau, penambahbaikan proaktif memerlukan kerjasama semua pihak bagi menyokong perjuangan pasukan keselamatan negara.

“Sudah tentu salah satu isu perlu dikemaskini adalah memastikan penambahbaikan aset-aset dilaksana seperti mana diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025, baru-baru ini.

“Penambahan aset-aset pula diharap dapat membantu ‘mendukung’ aset usang sekali gus menjadi penambahbaikan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pasukan keselamatan lain secara amnya.

“Pada masa sama, langkah-langkah penambahbaikan daripada segi prosedur operasi standard (SOP) juga perlu dikenal pasti dan diberi perhatian,” katanya dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasil laporan Lembaga Siasatan TLDM berkaitan insiden KD Pendekar yang karam di perairan Tanjung Penyusop, Johor pada 25 Ogos lalu.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, Lembaga Siasatan TLDM mendapati, faktor kesilapan pandu arah dan keusangan kapal menjadi punca kepada insiden terbabit.

Markas Tentera Laut dalam kenyataan memaklumkan, ia berdasarkan rekod laluan kapal itu yang tersasar dari laluan dirancang dan terlanggar Terumbu Punggai.

Dalam pada itu, lembaga siasatan berkenaan juga mengesahkan kematian penyelam TLDM Laskar Kelas I PLM Arman San Hermansa semasa melakukan operasi salvaj KD Pendekar disebabkan lemas.

Pada 25 Ogos lalu, KD Pendekar karam ketika melaksanakan rondaan operasi dan insiden itu berlaku apabila kapal menghadapi gegaran kuat diikuti kebanjiran besar semasa menghampiri pesisir pantai untuk melakukan pemeriksaan teknikal.

Semua 39 kru kapal berjaya dipindahkan dengan selamat ke kapal dagang MV ASHLEY tanpa sebarang kecederaan.

Kredit: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/10/1149483/segera-tambah-aset-tldm-jangan-tangguh-penganalisis

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email