Wajar Hormat Kuasa Prerogatif Agong

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. FOTO IHSAN FOTO JABATAN PENERANGAN

Kuala Lumpur: Semua pihak perlu menghormati institusi diraja berikutan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif mengikut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Penganalisis Keselamatan dan Politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi raja berperlembagaan, mengiktiraf Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan kepentingan Majlis Raja-Raja (MRR).

“Maka isu berhubung sesuatu perkara yang menjadi prerogatif yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan atau perkara berkaitan kepentingan institusi raja dan negara harus dihormati dalam pelbagai konteks.

“Malah, dalam isu berkepentingan masyarakat dan negara serta melibatkan keselamatan negara dan ke

pentingan sosiopolitik ekonomi negara, maka apa-apa jua keputusan harus mengikut satu timbang tara yang dipersetujui dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan rukun negara.

“Jadi, wajarlah perkara berkaitan isu pengampunan dan pengurangan hukuman dan sebagainya berlaku dalam konteks ketatasusilaan dan tatakelola, perundangan dan kehakiman selain mengikut lunas perkara yang termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan berhubung prerogatif yang terdapat pada Yang di-Pertuan Agong dan fungsi demokrasi raja dalam perlembagaan negara,” katanya kepada Harian Metro tadi.

Terdahulu, Istana Negara dalam kenyataan hari ini mengingatkan semua pihak untuk menghormati perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan.

Ini termasuk permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi mana-mana banduan hendaklah dikemukakan sendiri oleh banduan itu untuk dipertimbangkan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Berdasarkan Perkara 42(1) dan (2), Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa memberi pengampunan, menunda hukuman dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang sudah dijatuhkan mahkamah bagi kesalahan terbabit.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan