BUKANLAH perkara baharu bahawa aktiviti perjudian dalam talian bukan sekadar satu bentuk hiburan terlarang tetapi juga wabak digital yang semakin membarah, merosakkan masyarakat, ekonomi dan nilai moral negara.
Semakin hari, jumlah platform haram ini meningkat, memperlihatkan keberanian pengendali serta kealpaan pengguna yang tertarik dengan janji palsu kekayaan segera.
Penganalisis keselamatan dan politik yang juga Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin, kegagalan menangani isu tersebut boleh membawa kesan buruk yang tidak terkawal.
Beliau berkata, judi dalam talian merupakan isu yang berkaitan dengan elemen permintaan dan penawaran (demand and supply), dan ia bukanlah isu baharu.
“Masalah ini telah berlarutan terlalu lama. Apa yang perlu diberi perhatian dalam isu ini ialah langkah-langkah intervensi dan penambahbaikan yang berkaitan dengan aspek psikologi, perundangan, serta faktor-faktor lain yang dapat membantu menyelesaikan masalah perjudian dalam talian,” katanya kepada Edisi 9 hari ini.
Beliau berkata, salah satu perkara paling penting ialah memastikan algoritma pengiklanan perjudian tidak wujud dalam semua segmentasi media sosial serta penyedia perkhidmatan internet.
Pada masa yang sama, peraturan yang telah dikeluarkan perlu dikuatkuasakan dengan lebih ketat, termasuk mewajibkan pelesenan bagi semua pihak yang terlibat.
Katanya, langkah itu penting agar elemen perjudian dalam talian dapat dihapuskan, terutamanya melalui kawalan terhadap algoritma pengiklanan yang sering menarik minat masyarakat.
Ini terutamanya bagi mereka yang mudah terpengaruh dan cenderung terjerumus ke dalam tingkah laku ketagihan atau kepuasan psikologi melalui perjudian dalam talian.
Sejak 2022 hingga 1 Februari lalu, sebanyak 5,026 laman web judi telah disekat, dan 224,403 kandungan berkaitan perjudian telah diturunkan oleh pihak berkuasa.
Laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 2023 pula mendedahkan lebih 2,000 laman web berkaitan diambil tindakan serupa, namun jumlah itu hanyalah permukaan kepada realiti yang lebih gelap.
Dalam usaha meningkatkan akauntabiliti terhadap kandungan dalam talian, kerajaan telah mewajibkan pelesenan media sosial bermula 1 Januari 2025.
Langkah tersebut adalah strategi penting bagi mengawal penyebaran iklan perjudian dan mengurangkan capaian kepada laman haram tersebut.
Noor Nirwandy menyokong langkah tersebut dan menegaskan bahawa semua pihak, termasuk penyedia perkhidmatan internet, harus bertanggungjawab dalam mengekang aktiviti ini.
“Pelesenan media sosial akan memastikan tiada individu atau syarikat sewenang-wenangnya membenarkan promosi judi dalam talian di platform mereka. Ini satu langkah yang wajar dan perlu dikuatkuasakan secara tegas,” katanya.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyebutkan bahawa perjudian adalah antara punca utama ketidakstabilan sosial, dengan peningkatan kes muflis, kes jenayah, dan keruntuhan institusi keluarga.
Larangan terhadap umat Islam mesti lebih ketat, dan sebarang bentuk penglibatan dalam perjudian perlu dihukum dengan tindakan undang-undang yang berat.
Sementara mereka yang bukan Islam juga perlu disedarkan tentang bahaya aktiviti ini, terutama bagi golongan remaja dan masyarakat rentan yang mudah terjerumus dalam ketagihan judi.
Lebih merisaukan, laporan Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan transaksi berkaitan perjudian dalam talian telah mencecah RM2 bilion pada tahun 2022, jumlah yang menunjukkan betapa besarnya industri haram tersebut.
Ini bukan sekadar permainan, ini adalah jenayah ekonomi yang mengalirkan wang rakyat ke saluran gelap, memperkayakan sindiket yang tidak bermoral.
Jika tiada kawalan ketat, perjudian dalam talian akan terus memusnahkan kesejahteraan masyarakat, menjerumuskan lebih ramai individu dalam kancah hutang dan kehancuran hidup.
“Selain itu, bagi memastikan aktiviti perjudian dalam talian tidak diberikan ruang untuk terus wujud, ia perlu dikawal melalui sistem pelesenan yang lebih ketat.
“Walaupun terdapat premis perjudian yang berlesen dalam negara, umat Islam perlu dilarang daripada memasuki premis tersebut.
“Namun, perjudian dalam talian juga perlu diharamkan kepada umat Islam menyertainya,” kata Noor Nirwandy.
Sekiranya ia tetap berlaku, mekanisme pengawalan yang lebih ketat harus diperkenalkan bagi memastikan ia tidak menjejaskan nilai moral, terutama apabila melibatkan individu bukan Islam dan remaja bawah umur.
Oleh sebab itu, perjudian dalam talian perlu diharamkan sepenuhnya tanpa pengecualian dalam apa jua keadaan.
Noor Nirwandy berkata, cabaran lebih besar menanti di masa hadapan apabila perjudian dalam talian beralih kepada penggunaan mata wang kripto.
Berdasarkan laporan polis antarabangsa (Interpol), terdapat peningkatan sebanyak 35 peratus dalam kes perjudian menggunakan mata wang kripto sejak tahun 2021, menjadikannya semakin sukar untuk dikesan dan dihapuskan.
Beliau memberi amaran bahawa mata wang digital tersebut membuka ruang kepada jenayah yang lebih kompleks.
“Judi dalam talian melalui mata wang kripto menjadikan pemantauan semakin sukar. Jika tidak ditangani segera, ini boleh menjadi cabaran utama kepada pihak penguatkuasa di seluruh dunia,” ujarnya.
Beliau memberi amaran bahawa perjudian dalam talian bukan sekadar satu kesalahan kecil malah ia adalah ancaman kepada kestabilan negara.
“Masyarakat perlu menyedari bahawa setiap klik pada pautan perjudian membawa risiko besar iaitu ketagihan, kehilangan harta, jenayah, dan kehancuran moral. Kita tidak boleh lagi mengambil sikap berlepas tangan,” tegasnya.
Undang-undang perlu diperketatkan, dan penguatkuasaan mesti lebih tegas tanpa kompromi. Masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan melaporkan aktiviti perjudian melalui talian aduan 997.
“Jangan biarkan diri anda atau orang tersayang menjadi mangsa permainan kotor ini. Hapuskan judi dalam talian sebelum ia menghancurkan masa depan kita,” katanya. – Edisi 9