Jangan Abaikan Riadah Selamat

SENTIASA peka dengan perubahan sekeliling kerana ancaman keselamatan bukan hanya tertumpu kepada jenayah saja tetapi bencana alam yang bersifat semula jadi.

AKTIVITI riadah sememangnya perkara yang menyeronokkan dan ia mendorong praktikal gaya hidup sihat tidak mengira jantina.

Wanita moden hari ini juga sangat mementingkan penjagaan gaya hidup dan mereka turut serta sama-sama melakukan aktiviti riadah di luar atau berlari mengelilingi tasik untuk waktu tertentu.

Bagaimanapun tanpa disedari, wujud risiko yang nyata kepada wanita khususnya membabitkan ancaman keselamatan atau risiko menjadi mangsa jenayah seksual ketika melakukan aktiviti di luar.

Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, tidak dinafikan bahawa golongan ini terdedah dengan risiko keselamatan jika tidak berhati-hati.

Beliau berkata, wanita harus membina minda keselamatan selaras dengan konsep keselamatan menyeluruh yang diperkenalkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2021-2025.

“Minda keselamatan bermaksud sentiasa mencurigai dan sentiasa memastikan bahawa mereka melakukan ciri-ciri keselamatan utama seperti berwaspada, dan mengelakkan daripada berada kawasan sunyi atau laluan sama.

“Ini melatih seseorang individu untuk bertindak jika berlaku satu perkara yang tidak diingini atau situasi yang mengancam keselamatan termasuk ancaman kecurian barang, ancaman secara fizikal, ancaman seksual dan bentuk ancaman lain.

“Pada masa sama membolehkan mereka merangka perjalanan dengan lebih baik dan membina satu bentuk persediaan ataupun satu bentuk keadaan keselamatan yang boleh membantu mendepani kemungkinan sesuatu risiko,” katanya.

Beliau berkata, antara kaedah yang boleh diambil wanita adalah membawa peralatan khusus yang dibenarkan dalam undang-undang bagi tujuan melindungi diri jika berdepan dengan ancaman.

“Untuk tujuan keselamatan, wanita seharusnya tidak melaksanakan aktiviti riadah mereka di kawasan yang terpencil daripada perhatian atau pandangan umum, elakkan melalui trek yang sama kerana bimbang menjadi sasaran pihak ketiga dan melakukan aktiviti secara berkumpulan.

“Aspek keselamatan ini tidak hanya tertakluk kepada perilaku pihak ketiga, tetapi mungkin aspek semula jadi seperti bencana alam atau berdepan dengan haiwan liar atau berbisa, semua ini tertakluk dalam aspek keselamatan.

“Mungkin ada wanita yang gemar melakukan aktiviti riadah di waktu malam kerana lebih tenang, suhunya lebih rendah dan bermacam lagi sebab lain, tetapi mereka perlu mengambil kira semua faktor keselamatan,” katanya.

Menurutnya, kaedah terbaik adalah sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan cuba elakkan beriadah menggunakan fon telinga penuh memandangkan pengguna tidak akan sedar tentang bunyi persekitaran.

Katanya, jika dilihat dalam skala luas pula, fon telinga tidak dibenarkan untuk tujuan larian kompetitif jarak jauh atas faktor keselamatan dan perkara itu juga perlu diamalkan untuk riadah harian.

kredit: https://www.hmetro.com.my/WM/2025/02/1190703/jangan-abaikan-riadah-selamat

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan