Kepimpinan Islam Mesti Berlandas Al-Quran, Sunnah

Kepimpinan Islam juga perlu selaras dengan tamadun, falsafah dan kerangka pemikiran untuk membina satu bentuk jati diri negara. Gambar hiasan. (Gambar kecil: Noor Nirwandy (kiri), Ahmad Martadha)

SHAH ALAM – Kepimpinan dalam Islam perlu berlandaskan al-Quran dan sunnah dengan mengambil kira elemen kemajuan teknologi serta pemikiran moden bagi membawa satu perubahan yang lebih terjamin.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, ia juga perlu selaras dengan tamadun, falsafah dan kerangka pemikiran untuk membina jati diri negara yang boleh membawa kepada kepentingan masyarakat berbilang kaum, bangsa serta agama.

Menurutnya, Islam harus mendominasi arus kepimpinan negara terutama dalam konteks Malaysia apabila Islam merupakan agama rasmi manakala Yang di-Pertuan Agong adalah ketua negara yang dipertanggungjawabkan untuk melihat isu-isu kepentingan masyarakat Islam di negara ini.

“Kepimpinan Islam yang dilantik dalam kalangan ahli politik juga harus mencerminkan satu bentuk elemen supaya berjaya menyisihkan diri daripada godaan atau ketaasuban untuk mengejar sesuatu yang bertentangan dengan nilai, falsafah dan pemikiran Islam moden.

“Namun Islam adalah satu bentuk kepimpinan, ia dipanggil sebagai kebijaksanaan melihat situasi keadaan dan pemacu perubahan agar lebih berani mendominasi serta mempelopori segmen baharu.

“Ini kerana peperangan kini berasaskan ideologi dan memerlukan kekuatan psikologi untuk terus dominasi era kepimpinan Islam pada ketika ini,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berpendapat, setiap individu Muslim adalah khalifah di muka bumi sama ada sebagai pemimpin keluarga, masyarakat atau negara.

Jelasnya, seorang pemimpin dikira gagal apabila tidak melaksanakan tanggungjawabnya sepertimana yang digariskan di dalam al-Quran,

“Jika tanggungjawab tidak dilaksanakan dengan sebaik mungkin maka ia pasti memberikan kesan kepada mereka yang dipimpin.

“Untuk apa jadi pemimpin, adakah kejar agenda peribadi atau ingin jaga masyarakat? Kuasa yang diberikan kepada pemimpin adalah amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin kerana ia akan dipersoalkan kelak.

“Kalau faham konsep kepimpinan dalam Islam maka pemimpin akan meletakkan tanggungjawab paling utama. Beri kebajikan, keselamatan, kesejahteraan kepada mereka yang dipimpin dan bukannya kejar matlamat atau agenda peribadi,” ujarnya.

Tambah Ahmad Martadha, apabila perkara itu berlaku maknanya kesejahteraan masyarakat bukan lagi agenda utama seseorang pemimpin.

“Kesannya, masyarakat akan terus berada dalam kesusahan, misalnya hasil dan projek negara tidak diurus dengan baik. Dari situ kita boleh lihat ia ke arah kepentingan diri,” ulasnya.

Kredit: https://www.sinarharian.com.my/article/718268/khas/quranhour/kepimpinan-islam-mesti-berlandas-al-quran-sunnah

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan