Pakar Saran Naik Denda, Gantung Media Sosial Sengaja Abai Keselamatan Pengguna

Pada 27 Julai lalu SKMM umum semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon lesen.

PETALING JAYA: Kerajaan disaran menaikkan denda atau menggantung serta-merta operasi platform media sosial jika penyedia perkhidmatan gagal menangani jenayah dalam talian termasuk aktiviti penipuan yang semakin berleluasa.

Selvakumar Manickam dari Universiti Sains Malaysia berkata, langkah itu wajar jika terbukti mereka ‘tidak ikhlas’ dalam pematuhan syarat berkaitan pengiklanan yang ditetapkan dan sengaja mengabaikan perlindungan pengguna.

“Terutama apabila jumlah penipuan atau ‘scam’ pelaburan masih tidak berkurangan yang mungkin disebabkan isu penguatkuasaan, jurang peraturan ataupun penyesuaian pesat oleh sindiket penipuan.

“Dalam senario paling serius, penggantungan sepenuhnya (platform media sosial) menjadi satu keperluan jika berterusan gagal menjalankan tanggungjawab meningkatkan keselamatan dalam talian dan melindungi rakyat,” katanya kepada FMT.

Pada 27 Julai lalu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon lesen.

Pelesenan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu dirangka untuk meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan internet serta media sosial.

Selvakumar berkata, penggantungan media sosial di sesebuah negara bukan perkara baharu malah sudah berlaku di Brazil baru-baru ini susulan penyebaran berita palsu yang amat berleluasa.

“Malah, denda sebanyak RM3.8 juta dikenakan terhadap syarikat milik jutawan teknologi Elon Musk selepas beberapa pengguna di negara itu masih dapat mengakses platform media sosial X buat sementara waktu, selepas penggantungan dilaksana,” katanya.

Katanya, tindakan drastik penting bagi melindungi rakyat daripada mengalami kerugian dan masalah emosi akibat penipuan.

Sementara itu, pakar perang saraf dan penganalisis keselamatan & politik, Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata pelesenan platform media sosial perlu seiring tindakan pengauditan prestasi akaun secara berkala supaya penambahbaikan dapat dilakukan dari semasa ke semasa.

Noor Nirwandy Mat Noordin.
Noor Nirwandy Mat Noordin.
Katanya, matlamat itu mampu dicapai melalui pembentukan jawatankuasa peringkat tertinggi yang melibatkan akademi, pakar perang saraf mahupun pengamal undang-undang.

“Perlu ada intervensi bagi memastikan pematuhan. Diharapkan ia akan memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa pematuhan (pelesenan media sosial) dilakukan dengan baik dan sempurna,” kata ahli akademik dari Universiti Teknologi Mara.

Beliau berkata, penyedia media sosial juga boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa dan pakar bidang berkaitan bagi memperhalusi taktik baharu digunakan ‘scammer’ dalam memperdaya mangsa sekali gus mencari penyelesaian terbaik.

Kredit: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2025/03/20/pakar-saran-naik-denda-gantung-media-sosial-sengaja-abai-keselamatan-pengguna/

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan