PETALING JAYA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki kredibiliti dan kepimpinan yang mampu membawa ASEAN ke tahap yang lebih tinggi, selaras dengan peranan Malaysia sebagai sebuah negara kuasa pertengahan dalam rantau ini.
Di bawah pentadbiran beliau, Malaysia menunjukkan komitmen yang jelas dalam menangani isu-isu global seperti kezaliman Israel, hubungan kemanusiaan sejagat serta kepentingan serantau ASEAN, kata Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin.
“Perdana Menteri berpotensi menjadi tokoh pemacu kerjasama strategik ASEAN, terutama dalam merapatkan jurang antara negara-negara membangun dan kurang membangun dalam kalangan anggota ASEAN.
“Kepimpinan baharu yang lebih dinamik dan berwibawa amat penting bagi menjamin keharmonian, keselamatan dan kemajuan berterusan di rantau ini,” katanya kepada Malaysia Bangkit.
Ujar beliau lagi, peranan Anwar dalam membina imej ASEAN sebagai kuasa pertengahan global turut diiktiraf, lebih-lebih lagi dengan kedudukan strategik rantau ini yang mampu menjana pelbagai potensi dalam bidang keselamatan, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital serta diplomasi awam.
Melalui pendekatan kolektif dan kerangka peradaban yang inklusif, ASEAN di bawah pengaruh dan aspirasi Anwar berpotensi untuk menjadi sebuah komuniti serantau yang lebih dihormati di peringkat antarabangsa, kata Dr Nirwandy.
Terdahulu, Anwar menegaskan bahawa ASEAN akan terus memperkukuh kerjasama ekonomi serantau untuk menghadapi cabaran global, termasuk tindakan proteksionis seperti tarif Amerika Syarikat (AS).
Dalam ucapannya di Persidangan Pelaburan ASEAN 2025, beliau menekankan pentingnya negara-negara ASEAN untuk lebih bergantung pada diri sendiri dan memperkukuhkan perdagangan antara negara anggota ASEAN.
kredit: https://malaysiabangkit.com/2025/04/09/pmx-pemimpin-dinamik-untuk-masa-depan-asean-pensyarah/