Interaksi Positif Penawar Racun Media Sosial

socialmedia 1559872817
socialmedia 1559872817

Elemen data raya atau big data bukan perkataan baharu dalam pemahaman interaksi digital hari ini. Ia merujuk lambakan informasi di ruangan dan platform komunikasi dalam pencarian sumber yang menjadi rutin kehidupan masyarakat digital.

Kombinasi lambakan maklumat dan rutin perkongsian digital menimbulkan budaya baharu yang secara perlahan menjadi satu proses perlakuan normal.

Pengguna digital semakin rancak mengakses, berinteraksi dan mengolah pandangan melalui gajet masing-masing. Keghairahan ini membuka ruang pelbagai perilaku interaksi positif serta negatif.

Secara positif sebaran maklumat lebih pantas, sistem sokongan masyarakat lebih sistematik dalam situasi kritikal seperti perubahan cuaca, halangan di laluan perjalanan, ancaman keselamatan dan pelbagai situasi lain.

Media sosial juga memangkin penularan budaya positif melalui dasar kerajaan, ikon, selebriti, ilmuwan serta cendekiawan yang membentuk jaringan penyebaran maklumat positif dalam media sosial.

Bagaimanapun capaian tanpa batasan membuka ruang interaksi dan mewujudkan elemen partisan dalam kalangan masyarakat berhubung pelbagai konteks perbincangan.

Corak interaksi media sosial adalah penyumbang besar kepada perbezaan pendapat dan berupaya membuka ruang percanggahan sesama kita.

Keupayaan memberikan pendapat secara individu tanpa memerlukan rujukan daripada satu punca kuasa lain, membentuk kuasa mutlak yang ada pada setiap individu masa kini.

Kuasa mutlak itu yang berpotensi menyemai elemen kebangkitan, penyanggahan, penentangan, partisan dan akhirnya berisiko mewujudkan pembentukan ideologi serta budaya ekstremisme. Adakah ia sedang terjadi di negara kita?

Kebebasan bersuara satu aspirasi yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 10(1). Peruntukan ini amat jelas dan mudah difahami, tetapi hendaklah dibaca dan difahami bersama pengecualian hak kebebasan bersuara di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ramai pejuang kebebasan lantang merujuk hak kebebasan bersuara, tetapi secara disengajakan mengabaikan pemahaman sekatan hak kebebasan bersuara dalam Perkara 10(2), (3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan.

Kaji implikasi secara makro, mikro

Perlu difahami hak kebebasan bersuara juga meliputi soal tanggungjawab dalam menggunakan hak berkenaan dan mengkaji implikasinya secara makro dan mikro. Penyataan ini harus dijadikan asas komunikasi media sosial.

Budaya interaksi positif adalah penawar kepada keracunan media sosial. Sekiranya interaksi lebih cenderung ke arah negatif, ia akan meletakkan pengguna media sosial dalam suasana berdasarkan corak komunikasi terbabit.

Akhirnya, mereka akan terperangkap dalam suasana kognitif negatif tanpa disedari, malah akan terus merancakkan interaksi media sosial berdasarkan suasana atau corak komunikasi itu.

Ini antara faktor berlakunya penyebaran maklumat palsu, budaya fitnah serta pengembangan fahaman ekstremisme yang boleh mewujudkan elemen partisan ketara dalam kalangan rakyat.

Fahaman ekstremisme dan kewujudan elemen partisan ketara dalam media sosial boleh mengganggu gugat kestabilan dan keharmonian sesebuah negara.

Kewujudan fahaman dan elemen itu berupaya mengancam keselamatan negara seperti berlaku di beberapa negara di serata dunia. Bagaimanakah ia berlaku? Secara realitinya apabila wujud percanggahan pendapat ketara serta pertembungan ideologi atau fahaman yang bertentangan dengan nilai sosiobudaya sesebuah negara.

Ia meliputi elemen perkauman, agama, politik, budaya serta gaya hidup individu atau kluster kelompok tertentu di dalam negara terbabit.

Percanggahan dan pertembungan terbabit lebih mudah dimangkin melalui media sosial dan akhirnya dizahirkan melalui penentangan secara fizikal yang lazimnya bercorak kekerasan dan keganasan apabila di luar kawalan.

Justeru, satu titik temu perpaduan haruslah dipraktik secara langsung atau tidak. Strategi secara langsung adalah dasar kerajaan dalam merangka perundangan serta garis panduan yang boleh dipatuhi.

Sebagai contoh peruntukan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, terutama melalui Seksyen 233. Melalui cara ini, pengguna media sosial akan lebih janggal untuk melakukan posting atau perkongsian bercorak mengecam, menghasut atau lain-lain interaksi negatif melalui perubahan secara kolektif yang terhasil daripada pembentukan corak pemikiran ataupun kognitif positif pengguna media sosial.

Justeru, pengolahan strategi berdasarkan prinsip harus dilakukan melalui gerak saraf terancang menggunakan kepakaran pelbagai pihak.

Akhirnya masyarakat digital akan lebih harmoni dan memahami kepentingan perincian pembentukan kognitif positif yang ditafsirkan dari hujung jari anda. Jom posting secara positif.

Penulis adalah Felo Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM.

Credit

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan