Pemahaman Total Perlembagaan Persekutuan & Rukun Negara : Solusi Utama Undi 18

Screenshot 28
Screenshot 28

ISU kelayakan mengundi pada usia 18 tahun (Undi18) menjadi antara topik perbualan khususnya dalam kalangan ahli politik.

Realitinya, Undi18 sudah diluluskan apabila pindaan mengubah tempoh kelayakan umur pengundian daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun serta pendaftaran automatik mendapat sokongan sebulat suara Ahli Dewan Rakyat.

Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 berhubung perkara berkaitan dibentangkan pada Julai 2019, sekali gus meraih sokongan 211 Ahli Parlimen.

Walaupun ia diluluskan melalui Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan kenyataan menangguhkan pelaksanaan pendaftaran automatik serta kelayakan pengundian bagi individu berumur 18 tahun ke September 2022 berbanding cadangan asal Julai ini.

SPR memaklumkan ia disebabkan keperluan proses libat urus infrakstruktur, penyelarasan data daripada agensi berkaitan dan penyediaan sistem sokongan.

Ia mencetuskan pelbagai reaksi daripada segmen masyarakat khususnya ahli politik mempertikaikan keputusan itu. Ada mempertikaikan motif penangguhan dan menganggap alasan SPR tidak boleh diterima.

Hakikatnya, polemik Undi18 menjadi perhatian perbincangan kerana ia berkait rapat dengan institusi politik negara. Harus diingat secara dasarnya, Undi18 akan dilaksanakan, cuma apa berlaku ialah penangguhan pelaksanaannya kepada September tahun depan.

Dalam konteks penangguhan itu, ia juga berkait rapat dengan fungsi Perlembagaan Negeri yang perlu memastikan sama ada perlunya pemindaan kepada undang-undang tubuh dan kelulusan kerajaan negeri bagi membenarkan individu berumur 18 tahun menjadi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Faktor teknikal seperti kenyataan SPR juga adalah asas kepada penangguhan berkaitan walaupun dikritik pihak tertentu.

Di samping itu, Undi18 juga perlu dinilai daripada pelbagai perspektif, bukan hanya berdasarkan maklum balas ahli politik. Kepentingan Undi18 dari segi konsep politik secara keseluruhannya perlu dijadikan teras penilaian penangguhan Undi18.

Ia hanyalah penangguhan pelaksanaan, bukanlah pembatalan pelaksanaan. Apatah lagi, antara aspek terpenting dalam membincangkan pelaksanaan Undi18 ialah pemahaman kepentingan politik kepada hala tuju negara oleh generasi muda.

Ramai mengatakan golongan itu sudah cukup matang dan bersedia membantu menentukan hala tuju negara. Benar, mereka mampu dan bersedia tetapi dalam konteks suasana politik negara pada hari ini khususnya dari segi pergolakan politik negara dalam kalangan parti, apakah mereka faham tujuan dan kepentingan politik kepada hala tuju negara?

Dalam kempen politik, gerak saraf perang saraf adalah mustahak dalam menentukan kemenangan parti politik. Pemerkasaan demokrasi memang bermula daripada anak muda tetapi adakah mereka dibekalkan dengan maklumat lengkap asas pembentukan negara?

Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara ialah asas pembentukan negara. Semasa usul diluluskan adakah sistem sokongan sudah dirancang? Setelah ia diluluskan, apakah ia sudah mula diterapkan kepada pengundi muda?

Keghairahan atas dasar demokrasi, hak asasi dan pembangunan negara melalaikan kita terhadap kepentingan nilai asas pembentukan negara melalui prinsip Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara sebagai asas penting pemahaman politik kepada golongan muda.

Ideologi politik dan dasar negara oleh anak muda harus berteraskan pemahaman sepenuhnya terhadap kepentingan memahami pembentukan negara berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Hak asasi sejagat menjadi inspirasi utama demokrasi tetapi dalam konteks Malaysia, ia perlu difahami dalam konsep teras Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Malah, persepsi dan kempen gerak saraf perang saraf dalam politik ketika ini juga tidak memperlihatkan kematangan politik negara. Propaganda sempit dan pembunuhan karakter masih menjadi antara strategi pilihan propaganda politik negara.

Retorik manisfesto bersubsidi keterlaluan bagi memancing undi tetapi akhirnya sukar ditunaikan membuktikan kemenangan pilihan raya boleh berlaku dengan permainan gerak saraf perang saraf dan pembentukan persepsi mengujakan yang bersifat sementara.

Apakah hal sebegini menjadi konteks pemahaman konsep politik yang ingin negara hidangkan kepada anak muda Undi18?

Seharusnya tindakan pemahaman politik segar dan bersih perlu dibina dalam kalangan mereka. Naratif idealistik dan konstruktif bersifat membina negara perlu dijadikan pemangkin oleh parti politik negara.

Retorik manisfesto tidak tercapai, pembunuhan karakter, hak asasi cedokan Barat sepenuhnya dan propaganda sempit bukan nilai politik baik untuk membentuk asas kepada anak muda menyatakan kecenderungan politik mereka.

Kita tidak mahu kumpulan Undi18 mengundi berteraskan asas pemahaman politik tersasar. Rakyat juga mulai keliru dengan politik tidak berkesudahan negara dalam kalangan ahli politik, termasuk yang melupakan sentimen rakyat bukan ahli politik serta bukan ahli pada parti politik.

Di Indonesia, Pancasila menjadi falsafah nilai perpaduan yang diagungkan, sekali gus menjadi pegangan ideologi semua generasi negara berkenaan.

Dasar Perpaduan Negara dilancarkan baru-baru ini, perlu dimangkinkan ke arah itu. Proklamasi Darurat dan perang asimetri COVID-19 perlu dilalui secara bersama.

Tindakan tergesa-gesa mengubah pentadbiran atas dasar untuk menyelamatkan negara termasuk pelaksanaan segera Undi18 perlu diperhalusi. Kebersamaan menjadi kunci demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara adalah asas sebenar pemahaman konsep politik negara.

Golongan Undi18 tidak boleh dinafikan hak pengundian kerana mereka sudah layak dan berkemampuan, namun tempoh sehingga September 2022 harus digunakan sepenuhnya untuk membentuk pemahaman mereka terhadap teras politik negara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Ia sebagai persediaan bagi mereka untuk menghadapi kempen politik nyata kini khususnya di media sosial agar mereka tidak mudah dipengaruhi oleh gerak saraf perang saraf berkepentingan politik tersasar daripada prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

artikel asal: https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2021/03/801680/penangguhan-undi18-peluang-fahami-teras-politik-negara

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan