Syor beri oximeter kepada pesakit COVID-19 di rumah

Oximeter digunakan mengukur tahap oksigen dalam badan manusia.

KUALA LUMPUR: Kerajaan disyor membekalkan alat oximeter kepada pesakit COVID-19 yang menjalani pengawasan di rumah (HSO) bagi membolehkan mereka memantau kandungan oksigen secara kendiri dan kerap.

Penganalisa Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kerajaan juga disaran membekalkan isi rumah kes positif dengan kit ujian kendiri COVID-19 dan prosedur operasi standard (SOP) bagaimana menggunakan alat oximeter serta tabung oksigen.

Katanya, isi rumah terbabit juga disaran dilengkapkan dengan akses untuk melaporkan dan memberi maklum balas keadaan serta kadar jangkitan kes positif di rumah mereka secara berkala dan berpusat kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, melalui pembekalan alat itu, pesakit mampu mengesan penurunan kadar oksigen ketara, sekali gus menentukan tindakan segera jika memerlukan rawatan lanjut atau bantuan alat pernafasan.

“Ia mampu mengurangkan kecenderungan kes bergejala ringan menjadi lebih teruk yang mendorong kes kematian pesakit COVID-19 di rumah akibat kegagalan mengesan gejala dari awal.

“Tabung oksigen bergerak juga perlu diberi kepada pesakit memerlukan bantuan pernafasan segera, menerusi kerjasama hospital swasta bagi mengembalikan tahap oksigen ke paras normal dan mengelakkan keadaan pesakit menjadi lebih berbahaya.

“Unit sokongan menggunakan PPE lengkap terdiri daripada pasukan perubatan KKM dan agensi keselamatan lain boleh diselaraskan secara zon dan sektoral bagi membantu agihan oximeter, tangki oksigen dan sesi penerangan ringkas mengenai kaedah penggunaannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau juga mencadangkan supaya pasukan simpanan bagi setiap pihak berkuasa serta pelajar perubatan di universiti awam dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) diserap ke dalam unit sokongan terbabit.

“Ini bagi memudahkan sesi lawatan serta pemantauan berkala keadaan pesakit COVID-19 yang menjalani HSO di kawasan zon dan sektor mereka dilakukan,” katanya.

Artikel asal: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/844279/syor-beri-oximeter-kepada-pesakit-covid-19-di-rumah

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan