PM baharu Malaysia kini di tangan Agong

SHAH ALAM – Peluang Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk diangkat sebagai Perdana Menteri kesembilan bukan sahaja dianggap cerah bahkan berupaya mengembalikan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) secara total.

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi daripada Universiti Teknologi Mara, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, peluang tersebut juga mampu mengekalkan dominasi kepimpinan berasaskan dominasi politik Melayu Islam serta berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Menurutnya, masyarakat mahu calon yang kelihatan bersih serta mampu menyatukan pimpinan politik agar lebih fokus terhadap permasalahan pandemik Covid-19 yang dilihat semakin berjaya dikawal dengan baik oleh kerajaan.

“Peluang ini harus digunakan sebaiknya bagi kepimpinan beliau untuk membentuk kabinet serta pendekatan berkepentingan rakyat.

“Kesepakatan gabungan jajaran politik di antara BN khususnya UMNO bersama PN akan menentukan kejayaan beliau memperoleh majoriti bagi dilantik menjadi perdana menteri kesembilan.

“Kekuatan dan imej neutral beliau berupaya mengikat kembali gabungan kerjasama BN dan PN secara total dan boleh mengekalkan dominasi kepimpinan berasaskan dominasi politik Melayu Islam serta berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas Noor Nirwandy, potensi besar yang ada pada Ismail Sabri juga boleh diukur dengan melihat kepada keupayaannya memulihkan imej UMNO sebagai parti berkepentingan rakyat dengan membentuk kerjasama UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tanpa agenda peribadi.

Katanya, dominasi tersebut penting untuk dikekalkan bagi meneruskan formula perpaduan dan pembangunan tanpa meminggirkan sesiapa.

“Keadaan konflik luar negara seperti ancaman gerakan subversif dari ideologi ekstremisme juga memerlukan seorang calon perdana menteri yang berpengalaman dalam pentadbiran aspek pertahanan dan golongan belia negara.

“Beliau juga dilihat boleh menaikkan imej ahli politik yang tercalar kesan perebutan kuasa dan pergolakan dalam kalangan ahli Parlimen yang merunsingkan rakyat dan membawa kepada persoalan hala tuju politik negara,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama di Istana Negara. – Foto Bernama

artikel asal:https://premium.sinarharian.com.my/article/153040/fokus/semasa/pm-baharu-malaysia-kini-di-tangan-agong

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan