Pendekatan Keluarga Malaysia perlu tumpu permasalahan mikro rakyat

Rakyat digesa buat gencatan komen melampau serta negatif berbaur politik di media sosial selaras konsep Keluarga Malaysia. - Foto hiasan NSTP

KUALA LUMPUR: Pendekatan Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diharap memberi tumpuan khusus kepada pengurusan permasalahan rakyat secara mikro.

Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata peruntukan belanjawan dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah usaha kerajaan secara makro yang bertujuan membentuk pendekatan dan peruntukan secara komprehensif terhadap permasalahan rakyat.

Katanya, apa yang dimahukan oleh masyarakat pada ketika berhadapan pandemik adalah jaminan secara mikro atau terperinci bagi menambah baik kestabilan ekonomi mereka.

“Mereka juga mahukan jaminan keselamatan kesihatan khususnya bagi yang terkesan secara langsung seperti kehilangan pekerjaan, kematian ahli keluarga yang menyara keluarga serta kurang upaya kesihatan kesan dari pandemik COVID-19.

“Tawaran kepada pembangkang menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) adalah penting untuk diterima oleh parti pembangkang bagi meningkatkan keupayaan penyaluran bantuan dan pembentukan sistem sokongan kepada pengurusan permasalahan rakyat secara mikro.

“Ini bagi memastikan tiada golongan masyarakat yang ketinggalan dalam perlaksanaan pemulihan negara melalui pendekatan Keluarga Malaysia.,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jawatankuasa Parlimen juga boleh dibentuk di peringkat Dewan Rakyat dan di kawasan Ahli Parlimen masing-masing bagi memastikan setiap permasalahan dianalisa dan diselesaikan dengan lebih berkesan.

“Jelas rakyat mahu sandiwara politik dihentikan dan usahasama antara semua parti politik haruslah berkonsep rentas politik dalam kita memerangi COVID-19,” katanya.

Noor Nirwandy berkata, rakyat Malaysia juga digesa melakukan gencatan komen melampau di media sosial berhubung kecenderungan parti politik atau pemimpin tertentu.

“Sudah tibanya kita juga melakukan gencatan komen melampau serta negatif berbaur politik terutamanya di media sosial bagi bersama sebagai satu Keluarga Malaysia seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri.

“Kibarkan Jalur Gemilang dan bersama memberi maklum balas bersifat konstruktif bagi memulihkan semua sektor yang terkesan diwaktu kita bersama memerangi pandemik COVID-19,” katanya.

artikel asal:https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/855060/pendekatan-keluarga-malaysia-perlu-tumpu-permasalahan-mikro-rakyat

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan