KUALA LUMPUR: Semua parti yang terbabit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu diberi peluang secara adil untuk berkempen melalui saluran televisyen dan radio bagi meminimumkan risiko penyebaran COVID-19. Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata langkah itu juga bagi memberi keadilan kepada golongan yang tidak peka teknologi jika kempen digital digunakan secara meluas. Katanya, kandungan kempen melalui televisyen dan radio itu kemudian boleh diulang siar dan disebarkan melalui platform digital lain untuk capaian lebih menyeluruh.
“Kita boleh kembali kepada cara konservatif dengan mengadakan debat pemimpin dalam siaran televisyen dan radio.
“Ia boleh juga boleh diulang siar dalam bentuk digital di mana-mana platform kempen bagi meraih sokongan pengundi.
“Jika kempen digital digunakan secara meluas, kita tidak risau dengan golongan celik teknologi komunikasi, tetapi peluang harus diberi kepada golongan berumur yang tidak peka media sosial untuk mendengar jaminan dan janji bakal pemimpin mereka,” katanya kepada BH, hari ini.
Semalam, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk TS Kamel Mohamad, berkata SOP khas PRN Melaka dijangka dimuktamadkan minggu depan.
Kementerian Kesihatan hari ini pula melarang sebarang perhimpunan berkaitan pilihan raya berkuat kuasa esok hingga 27 November depan.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, perhimpunan itu termasuk termasuk penganjuran majlis seperti pelancaran jentera pilihan raya, bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 dan peningkatan kes mendadak.
Noor Nirwandy berkata, kempen melalui siaran televisyen dan radio antara pilihan dengan mengambil kira larangan pertemuan secara bersemuka dan ceramah besar-besaran yang berisiko mencetuskan penularan wabak.
Katanya, kempen melalui kenderaan bergerak dan di kawasan khas dibenarkan pihak berkuasa juga boleh dilaksanakan walaupun ia sedikit merencatkan perjalanan proses demokrasi.
“Kawasan khas untuk berkempen boleh diwartakan, dengan acara itu pemimpin politik berpeluang bertemu wakil penduduk dalam keadaan terkawal.
“Paling penting ialah penguatkuasaan tegas pihak berkuasa supaya prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi,” katanya.
Beliau turut mencadangkan perang poster dikurangkan pada PRN Melaka kerana ia boleh mendorong pertemuan fizikal dalam kalangan jentera pilihan raya.
Katanya, jentera pilihan raya dari luar Melaka juga mesti dipantau melalui identifikasi digital bagi membolehkan pihak berkuasa mengetahui jumlah sebenar dan pergerakan mereka.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis pula berkata, SOP pilihan raya di negara luar seperti Singapura dan Korea Selatan yang mengadakan pilihan raya ketika pandemik boleh dijadikan panduan pihak berkuasa.
Beliau berkata, pemerhatiannya mendapati negara terbabit mempunyai SOP khas di pusat pengundian termasuk proses sanitasi dan pengasingan pengundi belum vaksin atau bergejala.
Katanya, ini berbeza dengan PRN Sabah tahun lalu yang SOP agak longgar dan jika ada sekalipun, pemantauan terhadap pematuhannya adalah lemah.
“Di Korea dan Singapura ada kawasan sanitasi pengundi sebelum masuk serta selepas keluar bilik pengundian. Mereka juga pastikan pengundi tidak datang beramai-ramai dan selepas mengundi terus balik.
“Laluan khas disediakan bagi yang belum vaksin atau bergejala, sebab itu tiada lonjakan kes walaupun pilihan raya diadakan,” katanya.
Artikel asal:https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10/879564/beri-peluang-semua-parti-kempen-di-tv-radio#.YXUiw66lB7Y.whatsapp