BAHANG kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka makin dirasai dan parti-parti politik sedang berusaha mencipta strategi sekali gus perancangan yang rapi untuk muncul sebagai kerajaan negeri Melaka yang baru.
Kecenderungan parti-parti politik meletak calon-calon muda dalam PRN Melaka merupakan satu anjakan paradigma dalam landskap politik negara.
Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pemilihan calon ‘muka baharu’ bagi Perikatan Nasional (PN) adalah langkah yang munasabah kerana politik harus kekal bersih dan memerlukan idea-idea inovasi yang penting.
“Muka-muka baru harus digabungkan dengan muka-muka lama, kerana politik adalah satu perkara yang mementingkan imej kebersihan politik iaitu bebas daripada elemen-elemen rasuah dan juga satu bentuk idea-idea inovasi penting.
“Ini juga kelebihan yang ada pada generasi baharu, tetapi politik juga harus mempunyai pengalaman, maka gabungan-gabungan yang ditonjolkan, yang berada dalam PN diharap mampu membawa perubahan dalam bentuk pemikiran masyarakat apa itu definisi politik (bebas rasuah dan kepentingan rakyat).
“Pada masa sama, ia tidak mengetepikan muka-muka lama termasuk mengangkat muka-muka baru sebagai calon dalam PRN Melaka,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.
Dalam pada itu, beliau juga berpendapat ia boleh menjadi satu trend untuk dipraktikkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU), kelak, kerana UNDI18 yang boleh berjalan bila-bila masa.
Menurut Nirwandy, imej yang dibawa PN dianggap relevan dan boleh mendominasi politik Melayu-Islam, khususnya selepas PAS dan BERSATU berada dalam satu gabungan.
“Ini memberikan satu peluang, gambaran bahawa imej PN yang penting untuk diteruskan dianggap masih lagi relevan untuk PAS, walaupun UMNO bergerak berasingan dengan PN.
“Ia akan memberikan satu bentuk pola pengundian yang jelas khususnya perhubungan dominasi politik umat Islam dimana masyarakat akan mula menilai kelebihan ketiga-tiga parti dominasi politik umat islam iaitu UMNO, PAS dan BERSATU,” ujarnya.
Terdahulu, PN mengumumkan pada Sabtu, akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada PRN Melaka yang dijadualkan pada 20 November ini.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan senarai calon PN berkata, 15 daripada calon PN mewakili parti Bersatu, PAS (lapan) dan Gerakan (lima). – SB
artikel asal:https://satuberita.my/index.php/2021/11/07/pn-mampu-bawa-perubahan-definisi-politik-dalam-pemikiran-masyarakat-penganalisis/