KUALA LUMPUR | Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berakhir malam tadi membuktikan amalan demokrasi negara menuju ke arah yang lebih positif.
Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata walaupun peratusan keluar mengundi tidak menepati sasaran tetapi prosedur operasi standard (SOP) yang dirancang memperlihatkan Malaysia mampu mengadaptasi norma terkini dalam memastikan amalan demokrasi dan kepentingan negara berjaya dilaksanakan.
“Apa yang lebih penting adalah kempen digital tanpa bersemuka telah berjaya mewujudkan segmentasi baru dalam perang saraf gerak saraf dan propaganda politik.
“Kreativiti serta ekplorasi idea positif calon parti politik untuk mendekati masyarakat pengundi secara maya membina tatacara baru kempen politik negara” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Inovasi perang saraf dan gerak saraf serta propaganda politik pada kempen PRN Melaka dilihat lebih positif oleh calon yang bertanding.
Katanya, propaganda politik seperti pembunuhan karakter, sindiran melampau, tohmahan dan lain-lain pendekatatan perang saraf secara negatif tidak lagi digunakan oleh calon yang bertanding khususnya dikalangan muka baru politik negara.
“Pembaharuan ini perlu dikekalkan kerana propaganda politik serta gerak saraf yang terbaik adalah kempen yang positif dan berkepentingan rakyat sepenuhnya.
Teras Keselamatan Negara melalui Dasar Keselamatan Negara oleh Majlis Keselamatan Negara juga menggariskan kepentingan kestabilan sosio politik antaranya adalah melalui membudayakan persekitaran politik sihat dan matang.
“Keselamatan politik perlu dijayakan oleh calon serta pemimpin parti untuk terus meyakinkan masyarakat terhadap kemampuan ahli politik negara melalui kempen propaganda serta gerak saraf positif berkepentingan rakyat,” katanya.