Tambah kerusi DUN atas kepentingan rakyat, bukan strategi politik

Penganalisis keselamatan dan politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin (kiri) dan penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian.

SHAH ALAM: Usul penambahan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor perlu dilihat kewajarannya agar ia dilaksana berdasarkan kepentingan rakyat dan bukan hanya sebagai strategi politik pihak tertentu.

Penganalisis keselamatan dan politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata penambahan kerusi DUN itu juga tidak wajar dijadikan ‘alat’ bagi menguntungkan mana-mana pihak, dan alasan jumlah pengundi di sesuatu kawasan tidak boleh dijadikan sebab utama.

“Kepentingan penambahan DUN itu haruslah bagi memastikan fokus utama (kebajikan rakyat) dapat diberi dengan memahami keadaan, keperluan sesebuah kawasan demografi, golongan penduduk yang mendiami serta kewujudan institusi pendidikan (sosial) dan ekonomi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Noor Nirwandy berkata, justeru kerajaan negeri perlu mewujudkan pelan penerangan kepada masyarakat mengenai bagaimana penambahan kerusi DUN itu akan membantu meningkatkan taraf hidup serta memudahkan pembangunan sesebuah DUN berdasarkan kepentingan sosial dan ekonomi.

“Perkara ini memerlukan lebih banyak faktor seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), teknikal dan undang-undang yang harus diperhalusi.

“Namun, kita sedia maklum sebarang pertukaran atau elemen penambahan kerusi DUN selalunya berbentuk strategik dan akan menguntungkan pihak-pihak tertentu,” katanya.

Sementara itu penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian, berkata Kerajaan Johor juga mahu melakukan perkara sama ketika bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, menyuarakan pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) di negeri berkenaan.

“Sudah tiba masanya untuk Selangor dan negeri-negeri lain menilai untuk bertindak secara inovatif terhadap pertambahan pengundi dan perubahan geografi, disesuaikan dengan keadaan semasa ekosistem politik tanah air,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin, mengaku sudah tiba masanya DUN di negeri itu menambah bilangan kerusi baharu.

Beliau berkata, ia memandangkan jurang antara pengundi di setiap DUN kini amat berbeza, khususnya dengan pelaksanaan Undi18 dan kelayakan mengundi secara automatik.

Beliau yang juga ADUN Sungai Panjang berkata, pelaksanaan perkara itu perlu teratur tanpa tergesa-gesa supaya tidak membebankan mana-mana pihak, kerana hasil untuk kajian persempadanan semula akan digunakan bagi jangka panjang.

“Memang betul (perlu ada kajian persempadanan semula) sebab sudah tidak seimbang (pengundi) antara setiap DUN. Di utara Selangor iaitu tempat saya, mungkin bilangan pengundi bawah 50,000 tetapi di kawasan bandar ada yang mencecah 100,000 orang,” katanya.

Mohd Imran yang juga pengamal undang-undang menjelaskan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan menggariskan dua cara bagi kajian persempadanan, iaitu membabitkan kajian SPR bagi tempoh lapan tahun, dan kedua ialah pindaan Perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri oleh badan perundangan sama ada Parlimen pada peringkat Pusat atau DUN di peringkat negeri.

“Untuk kaedah pertama itu, kita sudah membuat kajian semula persempadanan pada 2018 tetapi tidak ada penambahan kerusi DUN.

“Selangor tetap kekal 56 DUN dan 22 Parlimen, cuma sempadan saja berubah dan ada nama DUN yang bertukar. Contohnya, DUN Sungai Tua dahulunya dikenali sebagai Batu Caves. Untuk opsyen ini, perlu tunggu tempoh lapan tahun dari kajian terakhir 2018, jadi memang tidak sampai lagi,” katanya.

Susulan itu, Mohd Imran berpendapat, usul pindaan yang akan dibawa Kerajaan Selangor akan menggunakan pilihan kedua, iaitu pindaan Perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri.

“Kalau kita mengikuti ucapan penangguhan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di DUN Selangor, 21 Mac lalu, memang beliau memilih opsyen kedua dengan menjelaskan prosesnya untuk mendapatkan dua pertiga majoriti yang saya rasa tidak ada masalah di DUN Selangor.

“Cuma, ia nanti hendak dibawa ke Parlimen dan akan mengambil masa juga jika penambahan kerusi itu dilakukan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya.

Isnin lalu, Kerajaan Selangor bercadang untuk membawa usul menambah bilangan kerusi DUN pada persidangan akan datang, susulan terdapat DUN yang mempunyai jumlah pengundi melebihi 75,000 hingga 100,000 bagi sesebuah kerusi.

Ketika ucapan penangguhan pada akhir persidangan DUN, Amirudin menyenaraikan DUN yang dijangka mengalami perubahan kerusi, antaranya Batang Kali, Gombak Setia, Teratai, Semenyih, Kajang, Balakong, Sungai Ramal, Seri Serdang, Kinrara, Subang Jaya, Seri Setia, Bukit Lanjan, Kota Damansara, Kota Anggerik, Bandar Baru Klang, Pandamaran, Sentosa, Sungai Kandis, Kota Kemuning dan Dengkil. – BERNAMA

artikel asal:https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/03/939332/tambah-kerusi-dun-atas-kepentingan-rakyat-bukan-strategi-politik

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan