KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menubuhkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dilihat selaras dengan teras kelapan dalam Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 iaitu Keselamatan Rakyat.
Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata di dalam Dasar Keselamatan Negara ini jelas terbukti bahawa keselamatan rakyat perlu diutamakan kerana ia disebut sebagai satu teras.
Sehubungan itu, katanya, usaha besar kerajaan untuk menangani jenayah berunsur scam atau penipuan melalui siber khususnya secara digital adalah penting dalam memastikan keselamatan rakyat.
“Penubuhan NSRC sesuatu yang amat baik kerana pada hari ini, modus operandi (MO) penipuan yang banyak merugikan masyarakat ini bergerak melalui peredaran zaman atau menggunakan kecanggihan perisian teknologi atau MO yang ditambah baik.
“Kumpulan penjenayah siber ini akan sentiasa mencari jalan bagi meningkatkan MO mereka dengan pelbagai kaedah terkini.
“Justeru, penubuhan NSRC ketika ini amat penting bagi memastikan elemen perisikan data-data itu dibangunkan dan kaedah bagaimana MO ini dapat dikaji dengan bantuan pakar serta ahli akademik berteraskan keselamatan,” katanya kepada BH, hari ini.
Pada pembentangan Bajet 2023, semalam diumumkan penubuhan NSRC yang akan mula beroperasi pada bulan ini bagi membendung jenayah penipuan termasuk penipuan dalam talian dengan segera.
NSRC menggabungkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
Gabungan empat agensi berkenaan akan bekerjasama dengan institusi kewangan dan akan bertindak berdasarkan laporan diterima untuk menyekat akaun serta mengambil tindakan ke atas penjenayah.
Mengulas lanjut, Noor Nirwandy berkata, penyertaan pelbagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan yang akan berada di bawah NSRC akan dapat memudahkan usaha meningkatkan nilai tambah dalam elemen perisikan yang perlu diberi perhatian utama dalam menangani scam dan mengkaji MO sindiket yang mendalangi kegiatan itu.
“Ia adalah satu langkah yang perlu difahami bagaimana usaha kerajaan ini dapat membentuk satu jaringan kerjasama yang baik di bawah NSRC, yang mana ia juga dapat membantu masyarakat menyalurkan maklumat secara berpusat.
“Kepelbagaian pusat ini perlu dipastikan berada pada tahap yang baik kerana ia harus mendapatkan maklumat daripada masyarakat, mempunyai elemen perisikan, memastikan MO dapat dikaji dan memastikan elemen perang saraf.
“Ini bagi memastikan segala maklumat yang perlu diterima oleh masyarakat, perlu disalurkan seperti nombor-nombor yang disyaki scam, kawasan dan MO scam yang tertentu,” katanya.
Pada pembentangan Bajet 2023, semalam kerajaan akan terus memperkasa CyberSecurity Malaysia dengan peruntukan RM73 juta bagi mengukuhkan pemantauan, pengesanan dan pelaburan ancaman siber termasuk membina keupayaan sistem forensik siber.
Mengulas perkara itu, Noor Nirwandy berkata, satu kerjasama perlu diadakan antara NSRC dan CyberSecurity Malaysia untuk mewujudkan Latih Amal Kebangsaan menghadapi isu scam atau penipuan pengeliruan berbentuk digital dalam talian atau dalam kaedah siber yang lain.
“Latih Amal adalah satu komponen yang paling penting bagi memastikan keselamatan menyeluruh kerana elemen itu memerlukan penyertaan masyarakat dan melalui dana RM73 juta ini, satu bentuk latih amal secara ringkas atau secara tepat dapat dibangunkan secara digital ataupun secara aplikasi.
“Ini supaya orang ramai dapat melihat bagaimana kaedah MO scam ini bergerak dan bagaimana untuk menangani, cara untuk menghentikan panggilan telefon, cara untuk menghadapi elemen scam berbentuk kaedah cuba mendapatkan one time password (OTP) menerusi SMS dan perisian lain,” katanya.
Sementara itu, Pakar Keselamatan Siber, Fong Choong Fook, berkata NSRC sewajarnya sudah ditubuhkan lebih awal namun pengumuman kerajaan semalam adalah satu perkara yang amat dinanti-nantikan.
“Menerusi penubuhan NSRC, ia boleh mewujudkan talian bantuan atau hotline berpusat untuk tujuan rujukan dan kesedaran orang awam mengenai jenayah scam atau penipuan ini, yang pada masa ini tidak ada badan khas yang mengendalikan perkara itu.
“Kita juga berharap NSRC dapat menyediakan kemudahan menyemak nombor telefon yang disyaki terbabit kegiatan scam seperti mewujudkan aplikasi khas yang boleh digunakan orang ramai merujuk nombor telefon yang tidak dikenali,” katanya.
Katanya, sudah sampai masanya kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan, memperkasa tindakan dan penguatkuasaan undang-undang dalam menangani kegiatan penipuan terutamanya penipuan dalam talian dan NSRC dilihat menjadi pemangkin utama ke arah itu.