Umum calon awal bantu pulihkan kelesuan pengundi

- Foto hiasan

PERANG saraf menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah dapat disaksikan dengan pelbagai langkah strategik dilakukan parti politik dan bakal calon serta ahli politik untuk mencari formula terbaik memenangi hati pengundi, meskipun kempen secara rasmi hanya bermula selepas penamaan calon Sabtu depan.

Operasi perang psikologi digerakkan melalui kemampuan masing-masing akan menunjukkan keupayaan pemahaman elemen perang saraf oleh bakal calon dan parti politik hingga menjelang pilihan raya kelak.

Setiap pilihan raya mempunyai teras corak pengundian ketara. Peratusan pengundian pada PRU14 melebihi 80 peratus mewujudkan gelombang tsunami rakyat memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH). Ia disifatkan satu tsunami menunjukkan kecenderungan pengundian berlaku berdasarkan beberapa faktor tertentu, termasuk penggarapan elemen perang saraf berkemungkinan mengaplikasikan kaedah perang psikologi.

Dua pilihan raya negeri (PRN) lalu pula menjadi rujukan sandaran terdekat bagi membayangkan hala tuju PRU15, termasuk dari aspek corak pengundian. PRN Melaka dan Johor membuka perbincangan hala tuju PRU15 dalam konteks berlainan.

Sekiranya pada PRU14 kemenangan memihak pada PH, tetapi pada PRN Melaka dan Johor kemenangan majoriti Barisan Nasional (BN) dilihat mendominasinya. Adakah teras corak pengundian bertukar dengan kembali memberikan kelebihan kepada BN berdasarkan sandaran rujukan keputusan PRN Melaka dan Johor?

Persoalan ini sebenarnya menarik untuk dikupas dalam keadaan kecelaruan politik tanah air. Umum mengetahui apa yang berlaku selepas PRU14, tetapi adakah benar teras corak pengundian sudah berubah seperti pada dua PRN lepas atau ia tidak boleh dijadikan sandaran untuk menjangkakan kecenderungan pengundian?

Bagaimanapun, kita perlu memahami terdapat beberapa perkara berkaitan yang perlu dianalisis bagi menguji kenyataan berkenaan.

Pertama, dari segi peratusan pengundi. Jumlah peratusan pengundi berbeza dalam konteks peratusan pengundian adalah faktor perlu dipertimbangkan. PRN Melaka mencatatkan jumlah pengundian bawah 70 peratus, malah angka lebih rendah dicatatkan pada PRN Johor.

Melihat dari segi perbezaan pengundian berbanding PRU14, ia jelas menunjukkan penurunan minat masyarakat untuk mengundi dan jika keadaan ini berlaku pada PRU15, maka berkemungkinan keputusan PRN Melaka dan Johor akan berulang.

Pengundi keliru

Kekurangan peratusan pengundian berkemungkinan akibat sikap pasif politik menggambarkan kekeliruan pengundi terhadap sketsa politik negara tidak berkesudahan.

Kedua, dominasi parti gergasi politik dalam mempengaruhi pilihan raya. PRN Johor dan Melaka memperlihatkan dominasi parti gergasi politik mempunyai kelebihan melalui sokongan ahli parti serta penyokong parti kembali mempercayai kewibawaan calon parti gergasi politik tanah air.

Sekiranya dominasi parti gergasi politik ini antara faktor mempengaruhi teras corak pengundian terkini, maka berkemungkinan parti serpihan dan kecil tidak akan mempunyai peluang cerah untuk memenangi PRU akan datang.

Faktor ketiga, wajah segar pemimpin muda dan baharu. Calon PRN Melaka dan Johor terdiri daripada calon segar dengan watak kepemimpinan baharu. Peningkatan dan penonjolan calon baharu memberikan aspek positif sehingga dikatakan mempengaruhi keputusan pengundian negeri berkenaan.

Maka jika dengan mengambil kira faktor muka segar dan baharu yang dinanti serta disenangi pengundi, maka kombinasi calon lebih muda harus lebih terserlah dalam mana-mana gabungan parti. Ia juga memberikan gambaran calon kitar semula akan menghadapi kesukaran mengekalkan kerusi serta memenangi kawasan Parlimen dihajati.

Justeru, asas operasi perang psikologi dilancarkan mungkin mengambil kira asas teras corak pengundian terbabit kerana kecenderungan pengundian harus dikaji sebelum apa-apa aplikasi perang saraf dilaksanakan. Ini juga adalah asas kenapa kelihatan berlaku perang psikologi menjelang pilihan raya, walaupun ada beberapa faktor utama lain boleh dihuraikan.

Ini termasuk perang psikologi untuk memperkenalkan calon dengan lebih awal dan juga mengumumkan tempat calon parti politik tertentu untuk bertanding, walaupun tarikh penamaan calon masih belum tiba.

Perang psikologi rancakkan minat pengundi

Pengumuman calon secara lebih awal berkemungkinan disebabkan beberapa faktor. Antaranya adalah sebagai perang psikologi meningkatkan kerancakan minat pengundi dan memulihkan kelesuan mereka dengan cara menarik perhatian awal dengan harapan ia akan berupaya meningkatkan jum- lah pengundian di kawasan Parlimen tertentu.

Faktor pengundian rendah akan menguntungkan parti gergasi politik, jadi adalah penting untuk ramai pengundi turun mengundi bagi memberikan tentangan pada parti gergasi politik tanah air.

Selain itu, pengumuman figura besar politik negara untuk bertanding di kawasan baharu juga antara perang psikologi menarik untuk berlaku sebelum penamaan calon menjelang pilihan raya.

Aspek undi popular calon antara elemen penting dalam memahami teras corak pengundian pilihan raya. Undi popular calon selalunya dirujuk kepada figura penting dalam gabungan parti politik tertentu.

Penggunaan undi popular figura politik tertentu memangkinkan keterujaan kawasan baharu seperti perpindahan negeri kawasan bertanding dilihat sebagai antara aspek perang psikologi mungkin boleh diaplikasikan. Kaedah undi popular calon serta personaliti figura politik berkaitan akan cuba digunakan sebaik mungkin untuk menyalurkan populariti figura berkaitan ke kawasan parlimen berdekatan.

Setiap pilihan raya akan mempunyai teras corak pengundian tertentu dan perang psikologi yang dilancarkan harus mempunyai asas pertimbangan berkesan.

Bagaimanapun, sama ada perang saraf dan psikologi itu berkesan atau tidak, hanya rakyat akan menentukannya pada PRU15.

kredit: https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/10/1017977/umum-calon-awal-bantu-pulihkan-kelesuan-pengundi

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan