KUALA LUMPUR: Trend pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan perubahan pola undi popular yang menyaksikan graf populariti setiap gabungan parti politik turun naik secara signifikan.
Ia dikatakan disumbang kelompok majoriti senyap yang lebih tertumpu untuk membuat perbandingan tanpa pembabitan secara langsung dan jelas, termasuk di platform media sosial.
Keadaan itu antara lain dikatakan turut dibayangi faktor penolakan terhadap parti atau calon tertentu, selain didorong sentimen diketengahkan sepanjang tempoh berkempen.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf, Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berpandangan populariti PAS dilihat lebih terserlah, berbanding gabungan atau parti politik lain yang bertanding pada PRU15.
Beliau berkata, populariti PAS antara lain berjaya membentuk ‘tsunami politik hijau’ yang mengalihkan perhatian, terutama pengundi muda untuk menyokong parti Islam itu.
Meskipun undi popular tidak menjadi asas dan penentu dalam kedudukan kerusi Parlimen bagi pembentukan kerajaan, namun ia menggambarkan tahap sokongan pengundi kepada parti yang bertanding pada PRU.
“Pencapaian PAS lebih ke hadapan apabila berjaya menawan 22 kerusi pada PRU15, berbanding hanya menang di 18 Parlimen pada PRU14. Jumlah ini juga tidak termasuk wakil PAS yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) di negeri selain Kelantan dan Terengganu.
“Populariti DAP pula dilihat agak statik berikutan partinya yang memiliki plot sokongan tetap masyarakat Cina sejak PRU14 lagi. Prestasi PKR pula dilihat menyaksikan penurunan signifikan apabila hanya berjaya meraih 31 kerusi pada PRU15, berbanding kemenangan di 104 Parlimen pada PRU14.
“Barisan Nasional (BN) pula memperlihatkan prestasi tercorot apabila hanya meraih 30 kerusi pada PRU15 biarpun menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor serta beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini,” katanya kepada BH, hari ini.
PRU15 yang melabuhkan tirai semalam menyaksikan PH menang di 76 kerusi, diikuti PN (51); BN (30); PAS (22) dan Gabungan Parti Sarawak (22); Gabungan Rakyat Sabah (enam); DAP (lima); WARISAN (tiga); BEBAS (dua) serta MUDA, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan Parti Bangsa Malaysia, masing-masing satu kerusi.
Mencerakinkan calon popular pada PRU15, Noor Nirwandy mengakui bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mendahului senarai apabila berjaya memberi saingan sengit kepada Datuk R Ramanan di Parlimen Sungai Buloh atas tiket PH.
Katanya, percaturan membabitkan bekas Ketua Pemuda UMNO itu menampilkan kelainan tersendiri apabila berjaya memecahkan majoriti undi, biarpun Khairy kecundang dalam percaturan di kubu kuat PH itu.
Beliau berkata, kekalahan Khairy dilihat lebih dibayangi faktor penolakan pengundi terhadap BN, selain kerusi ditandingi beliau bukanlah kawasan selamat untuk Timbalan Ketua UMNO Rembau itu.
“Selain Khairy, kita juga perlu akui populariti Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menang di Parlimen Machang. Beliau memiliki pesona tersendiri dalam kalangan pengundi, biarpun sering diremehkan parti lawan.
“Personaliti seperti Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan juga tidak boleh dikesampingkan kerana kekalahan mereka dibayangi faktor bertanding di kerusi kurang sesuai.
“Namun, amat mengejutkan apabila Tun Dr Mahathir Mohamad, anaknya, Datuk Seri Mukhriz serta Datuk Zuraida Kamaruddin kalah di kawasan masing-masing sehingga hilang wang pertaruhan. Ini menterjemahkan tahap populariti mereka sudah merudum,” katanya.
Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff bagaimanapun menyuarakan hujah berbeza selain berpandangan PKR dan DAP mendominasi radar undi popular susulan kejayaan menampilkan pelbagai tawaran membina Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan peningkatan populariti PAS, didorong suntikan sentimen berbaur perkauman sepanjang tempoh berkempen yang dilihat masih relevan, selain kekuatan jenteranya di utara Semenanjung.
Mohammad Agus juga mengesyorkan supaya UMNO beralih daripada slogan ‘No DAP, No Anwar’ kepada ‘stand for a better Malaysia’ jika mahu parti terbesar Melayu itu kembali ke era kegemilangannya suatu ketika dahulu.
“PEJUANG, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan beberapa parti kecil lain diakui tidak tersenarai dalam radar popular berikutan tiada tawaran berkualiti yang boleh diketengahkan.
“Parti sedemikian dilihat lebih sesuai bergabung dengan parti politik sedia ada yang berpengaruh jika mahu terus memperkukuh keadaan, berbanding hanya bertanding secara bersendirian,” katanya.
Kredit: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/11/1028982/pru15-pola-undi-popular-berubah-secara-signifikan