Maklumat masyarakat boleh bantu atasi sindiket penipuan

SERAMAI 164 warga asing dan tempatan dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian ditahan di tiga pusat peranginan berasingan di Langkawi. Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata operasi yang dijalankan secara serentak, semalam adalah hasil maklumat daripada masyarakat setempat di situ. FOTO Bernama

Kuala Lumpur: Pihak berkuasa dan masyarakat perlu lebih peka terhadap modus operandi baharu sindiket penipuan dalam talian dalam usaha membanteras kegiatan itu.

Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kejayaan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membongkar kegiatan sindiket penipuan dalam talian di Pulau Langkawi, Kedah, membolehkan pihak berkuasa mengesan taktik baharu mereka.

“Penjenayah terutama sindiket penipuan sentiasa licik menambah baik modus operandi mereka bagi mengelak kegiatan itu dikesan pihak berkuasa.

“Justeru itu, tindakan penguatkuasaan berterusan perlu diambil bagi mengenal pasti jika ada kawasan terpencil seperti pusat peranginan dijadikan sebagai pusat panggilan menerusi kerjasama dengan masyarakat setempat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noor Nirwandy berkata, masyarakat juga digalakkan supaya menghubungi talian khas berkaitan sindiket penipuan iaitu 997 untuk menyampaikan maklumat kepada pihak berkuasa.

“Bukan sahaja dari segi teknologi, malah sindiket penipuan dalam talian juga sentiasa menambahbaik modus operandi mereka dari segi lokasi beroperasi.

“Dalam kes ini, maklumat daripada masyarakat penting untuk disampaikan kepada pihak berkuasa supaya tindakan penguatkuasaan boleh diambil,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan JIM menahan 164 individu termasuk 30 warga asing yang dipercayai terbabit dengan sindiket penipuan dalam talian menerusi serbuan di tiga pusat peranginan di Pulau Langkawi, Kedah.

Semua individu yang ditahan berusia lingkungan 18 hingga 35 tahun dengan warga asing itu terdiri daripada 27 warga China, dua Thailand dan seorang Myanmar.

Kredit: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/01/925411/maklumat-masyarakat-boleh-bantu-atasi-sindiket-penipuan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan