BANGI, Sabtu – Kemelut politik dalam kepimpinan parti UMNO masih berterusan apabila terdapat pucuk pimpinan yang ingin mencabar kedudukan presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Bagaimanapun, penganalisis keselamatan dan politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media & Informasi UiTM, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin menggesa parti itu segera membuat gencatan politik bagi mengelakkan ancaman keselamatan politik negara.
Katanya apa yang lebih penting sekarang adalah memperjuangkan isu berhubung kepentingan negara khususnya isu masyarakat Melayu Islam dalam negara.
Pada masa kini sebarang perubahan ketara seperti pertukaran pucuk pimpinan dan presiden boleh mengganggu gugat kestabilan politik negara dan ini amatlah tidak dimahukan dalam keadaan kekucaran politik dan ketidakstabilan ekonomi dunia termasuk ancaman terhadap keselamatan negara dan politik yang boleh berlaku pada bila-bila masa, – DR. NOOR NIRWANDY MAT NORDIN / Penganalisis
Beliau ketika dihubungi TV Pertiwi turut menjelaskan kestabilan politik negara adalah berbeza sebelum dan selepas pilihanraya kerana pembentukan kerajaan gabungan perlu menumpukan kepada keselamatan politik negara.
Dr. Nirwandy turut berkata ia juga bagi mengelakkan pelarutan persengketaan politik yang telah berlaku hingga kini dan perlu meletakkan titik noktah selain menghadapi ketidaktentuan unjuran ekonomi pada tahun ini.
Tambahnya, walaupun perubahan pucuk pimpinan itu dilihat penting dari kaca mata masyarakat luar tetapi UMNO juga harus terus memastikan mereka mempunyai bentuk kepimpinan yang kuat bagi membantu pembentukan kerajan yg lebih stabil.
Sebelum ini, Zahid Hamidi berkata beliau terbuka untuk dicabar oleh sesiapa sahaja yang berhasrat untuk memegang jawatan nombor satu parti itu pada pemilihan parti akan datang.
Bagaimanapun, minggu lalu presiden UMNO itu dilaporkan berkata beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukannya sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan atau tidak.
Setakat ini desas desus mengatakan ahli parlimen Bagan Datuk itu akan dicabar oleh bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Bagaimanapun, beliau berpandangan jawatan itu tidak perlu dipertandingkan kerana keadaan huru hara politik yang telah berlaku pada sekian lama dan UMNO harus memahami perubahan besar boleh membantutkan usaha mewujudkan kestabilan politik dlm kerajaan baharu.
Kredit: https://tvpertiwi.com.my/2023/01/07/umno-perlu-gencatan-politik-fokus-isu-masyarakat-melayu-islam-penganalisis/?s=08