Belanjawan 2023: Peruntukan demi rakyat merentasi fahaman politik

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri bersifat menyeluruh dan cuba menyelesaikan beberapa isu pokok membabitkan rakyat terutamanya soal kemiskinan yang membelenggu golongan miskin tegar dan B40.

Walaupun tiada pendekatan populis yang diambil, kerajaan sedaya upaya bukan sahaja menoktahkan soal miskin tegar malah menyusun kembali ketirisan serta urus tadbir tidak cekap.

Justeru, tidak adil mengatakan ada negeri yang dianak-tirikan mahupun membangkitkan sentimen politik keterlaluan.

Walhal pelbagai agenda direncana bagi pembangunan negara selain memfokuskan kepada isu kos sara hidup.

Namun terdapat segelintir pihak mengeluh bahawa peruntukan yang diberikan bersifat balas dendam dan tidak adil terutama melibatkan kawasan pembangkang.

Penganalisis Ekonomi UPM, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, peruntukan yang disediakan sama rata merentasi fahaman politik.

“Kita lihat aspirasi PM peruntukan yg diberi sebenarnya sama rata, kepada parlimen dan negeri maknanya semua dapat peruntukan yang sama untuk maksud pembangunan yang sebelum ini orang kata peruntukan ahli parlimen diberikan.
sebenarnya tidak dikurangkan.”

“Jumlah yang sama tetap diberikan tetapi disalurkan kepada kerajaan negeri. kalau kita kata untuk Pilihan Raya Negeri mungkin ada negeri akan dapat peruntukan yang lebih tetapi sebenarnya sama rata.” katanya kepada Buletin TV3.

Jelasnya, peruntukan yang disediakan kerajaan juga memberi banyak manfaat kepada negeri yang ditadbir pembangkang yang mana kadar kemiskinan tegar dilaporkan tinggi.

Sementara itu, Penganalisis Keselamatan & Politik UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata peruntukan yang diumumkan itu tidak bersifat politik, malah ia disediakan demi kepentingan rakyat menerusi agihan kepada kementerian-kementerian.

“Ini salah satu bentuk perkara yang tidak boleh dikatakan berlaku secara total, ia harus dilihat kepada kesan yang lebih besar contoh apa yang boleh dilakukan ahli parlimen untuk memastikan ia sampai ke kawasan mereka.”

“Bukan hanya terus membuat satu anggapan ia mungkin memihak kepada golongan tertentu kerana disini lah kepentingan kerajaan pusat mengotakan janji untuk memadanikan pembangunan malaysia dalam keadaan yang lebih sekata tanpa meminggir sesiapa.” ujarnya.

Tambahnya, semua ahli parlimen perlu memainkan peranan penting dalam memberi pelaporan mengenai keperluan rakyat di kawasan masing-masing.

Seperti yang diharapkan Perdana Menteri, Belanjawan 2023 memerlukan penyertaan semua tanpa mengira fahaman politik.

Oleh itu, ahli parlimen perlu menyambut usaha tersebut merentasi fahaman politik dengan memberikan input dan bukannya menimbulkan polemik sehingga mencetuskan kegusaran rakyat.

Kredit: https://www.buletintv3.my/nasional/belanjawan-2023-peruntukan-demi-rakyat-merentasi-fahaman-politik/

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan