‘Muka tak sama dengan IC pun boleh lepas’

ANTARA MyKad milik warga tempatan yang disediakan sindiket bagi membolehkan Pati melepasi pemeriksaan di lapangan terbang.

Kuala Lumpur: Raut wajah dimiliki 100 peratus berbeza berbanding MyKad ditunjukkan. Namun mereka berjaya lolos menaiki pesawat komersil untuk menyusup masuk ke Semenanjung Malaysia beramai-ramai.

Itu antara komplot terancang di pintu salah sebuah lapangan terbang di Sabah bagi membolehkan beribu pendatang asing tanpa izin (Pati) Filipina menaiki penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) Sepang sejak lebih lima tahun lalu.

Difahamkan semua pendatang haram itu akan dibekalkan MyKad tulen milik warga tempatan yang disediakan sindiket bagi membolehkan Pati melepasi pemeriksaan di lapangan terbang.

Berdasarkan maklumat diperolehi wartawan Harian Metro, pakatan sulit membabitkan aktiviti penyeludupan manusia itu dipercayai didalangi beberapa sindiket berpangkalan di negeri bawah bayu itu.

“Berdasarkan risikan awal, salah satu sindiket utama itu didalangi dua wanita ‘otai’ tempatan berusia 40-an dan 50-an. Mereka disyaki memiliki dua kerakyatan berikutan kerap berulang alik ke wilayah di selatan Filipina.

“Risikan mendapati dua beradik wanita ini beroperasi persis tekong darat. Mereka akan menguruskan perjalanan masuk Pati dari Sabah ke Semenanjung Malaysia dengan menaiki pesawat komersial,” katanya.

Menurutnya, suspek akan menguruskan pengangkutan dan pembelian tiket penerbangan pesawat menggunakan identiti MyKad tulen milik warga tempatan.

“Sindiket kemudian akan membekalkan MyKad tulen dan ‘boarding pass’ (pas masuk atas nama pemilik asal Mykad) pesawat kepada kumpulan Pati yang menggunakan khidmat mereka.

“Pati warga Filipina terbabit kemudian akan menyamar sebagai rakyat Malaysia ketika melalui pemeriksaan pihak berkuasa di lapangan terbang di Sabah.

“Di sini timbulnya sesuatu tidak kena apabila Pati ini dengan mudah melepasi pemeriksaan petugas keselamatan di lapangan terbang ketika mahu menaiki pesawat. Agak aneh apabila Pati ini tidak ditahan walaupun wajah mereka langsung tidak sama dengan Mykad diberikan bagi pengesahan boarding pass.

“Berdasarkan risikan lebih lanjut, sindiket dipercayai memberi suapan kepada segelintir petugas keselamatan di lapangan terbang bagi melicinkan operasi,” katanya.

Sumber berkata, pihak sindiket biasanya akan diberikan jadual masa perjalanan, kaunter dan laluan tertentu ditetapkan ‘kaki’ di lapangan terbang bagi memudahkan Pati menaiki pesawat.

“Malah dalam beberapa penemuan risikan dilakukan, wujud kejadian aneh apabila boarding pass milik Pati sudah terlebih dahulu dicop (agensi penguatkuasa) sebelum mereka melepasi gate pemeriksaan penumpang.

“Selain itu, tiada maklumat keluar masuk pemilik MyKad terbabit direkodkan di dalam pangkalan data agensi penguatkuasa kerajaan dipertanggungjawabkan di lapangan terbang.

“Senario pelik ini memungkinkan wujud unsur rasuah membabitkan sindiket dan petugas keselamatan di sebuah lapangan terbang di Sabah.

“Keadaan tambah ‘membimbangkan’ apabila Pati ini yang mendarat di KLIA2 Sepang, tidak perlu lagi menjalani pemeriksaan identiti sekali lagi,” katanya.

Menurutnya, Pati terbabit dengan mudah bolos masuk ke Semenanjung Malaysia dengan pelbagai tujuan tidak diketahui sama ada untuk mencari pekerjaan atau objektif tidak diketahui.

“Setakat ini, sindiket didalangi dua beradik itu dipercayai sudah bergiat aktif sejak tahun 2018 dengan mengaut hasil keuntungan lebih RM1.2 juta.

“Setiap Pati yang menggunakan khidmat mereka hanya dikenakan bayaran sekitar RM2,500 setiap seorang. Jika mengambil kira jumlah wang diperolehi itu, tidak kurang dari 1,000 Pati warga Filipina sudah dibantu sindiket untuk ‘terbang’ menyusup masuk ke Semenanjung Malaysia.

“Angka itu bagaimanapun hanya membabitkan satu sindiket. Tidak dapat dipastikan jumlah sebenar Pati warga Filipina yang berjaya bolos dan kini berkeliaran di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Menurutnya, apa yang berlaku ini adalah satu lagi bentuk pengkhianatan besar terhadap negara.

“Mereka menjual kedaulatan tanah air demi wang ringgit. Implikasinya cukup besar membabitkan isu keselamatan negara. Mungkin ada antara Pati itu adalah penjenayah atau pengganas di negara asal.

“Jika kegiatan ini tidak ditangani segera, entah berapa ramai Pati Filipina yang berada di Semenanjung Malaysia. Ini hanya akan memburukkan lagi isu lambakan Pati sedia ada di Malaysia,” katanya.

Tambah baik sistem aduan terhadap Pati

Limpahan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang memasuki negara ini perlu dianggap satu bentuk ancaman serius terhadap isu keselamatan nasional.

Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, isu ini yang sudah sekian lama diperdebatkan belum menemui titik penyelesaian jitu.

Menurutnya, konsep dan dasar keselamatan negara harus dinilai semula melalui pembabitan lebih proaktif dikalangan rakyat.

“Tanpa ‘campur tangan’ rakyat yang menjadi mata dan telinga, isu ini tidak akan selesai apatah lagi jika ramai bersikap ‘tidak ambil kisah’.

“Saluran aduan terhadap kehadiran ataupun ancaman Pati seharusnya ditambah baik. Ini termasuk elemen risikan dan tindakan bagi membenteras Pati secara berterusan.

“Selain itu, kerajaan boleh mewujudkan zon kawalan masa di penempatan tumpuan Pati bagi memastikan golongan ini tidak terlalu bebas,” katanya.

Menurutnya, kaedah ini memastikan Pati atau warga asing yang memiliki permit bekerja di negara ini dipantau pergerakan melalui kaedah ‘pagar moden’.

Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan seramai 15,845 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di semua depot imigresen seluruh negara dengan warga Filipina merekodkan tahanan paling ramai iaitu 5,138 orang atau mewakili 32.4 peratus.

Menurutnya, jumlah itu membabitkan 11,983 lelaki, 2,683 orang wanita, 656 orang kanak-kanak lelaki dan 523 orang kanak-kanak perempuan direkodkan hingga 29 Januari lalu.

Beliau berkata, warga Filipina adalah tahanan paling ramai iaitu 5,138, diikuti warga Myanmar termasuk etnik Rohingya seramai 4,424 (27.9 peratus) dan warga Indonesia seramai 4,097 (25.9 peratus).

Kredit: https://www.hmetro.com.my/utama/2023/03/949158/muka-tak-sama-dengan-ic-pun-boleh-lepas

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan