KUALA LUMPUR – Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Border (RSF), sebuah badan bukan kerajaan berkenaan kebebasan media berpangkalan di Paris, menyaksikan Malaysia di tangga ke-73 daripada 180 negara, melonjak 40 kedudukan berbanding tahun sebelumnya.
Dalam laporan itu yang menilai tahap kebebasan media sepanjang 2022, RSF menggambarkan Malaysia sebagai antara negara yang menunjukkan peningkatan prestasi paling ketara dan agak konsisten dalam tempoh tiga tahun berturut-turut hingga 2023, iaitu ke-113 dalam laporan 2022 dan ke-119 pada 2021.
RSF mentakrifkan kebebasan media sebagai kemampuan wartawan, secara individu dan organisasi, untuk memilih, mengeluar dan menyebar berita berkepentingan awam tanpa campur tangan politik, ekonomi, perundangan dan sosial serta bebas ancaman terhadap keselamatan fizikal dan mental mereka.
Penilaian dibuat dalam tempoh Januari hingga Disember pada tahun sebelum laporan dikeluarkan.
Pencapaian ini pastinya sesuatu yang membanggakan kerana Malaysia dianggap oleh organisasi itu sebagai sebuah negara yang melaksanakan undang-undang draconian yang mengekang kebebasan media.
Sewajarnya juga prestasi negara yang diperakui oleh RSF ini diketengahkan pada sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini. Bertemakan “Media Bebas, Tunjang Demokrasi”, sambutan diadakan sehari lebih awal, iaitu pada Ahad ini, di Ipoh, Perak.
Untuk rekod, HAWANA dirai pada 29 Mei setiap tahun.
KESELAMATAN MINDA MASYARAKAT
Mengulas tentang tahap kebebasan media di negara ini, penganalisis keselamatan dan politik daripada Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata sebarang usaha yang digerakkan oleh kerajaan ke arah kebebasan media adalah bersandarkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Jelas beliau, ini bagi membolehkan pengamal media memainkan peranannya dengan lebih berkesan, terutama dalam membantu membentuk keselamatan minda masyarakat.
“Pihak media yang bebas perlu menjadi antara pemangkin utama yang menggerakkan dasar keselamatan minda, selaras dengan satu daripada teras dalam Dasar Keselamatan Negara 2021-2025. Industri media perlu bekerjasama dengan pihak berwajib termasuk agensi tertentu, sebagai langkah strategik dalam menggerakan perang saraf media terhadap ancaman digital yang sedang berleluasa.
“Keselamatan minda masyarakat yang dibentuk oleh media ini juga adalah satu kaedah terbaik untuk mempersiap orang ramai mendepani pelbagai ancaman berbentuk subversif dan ideologi yang boleh memecahbelahkan perpaduan kaum. Kita semua bertanggungjawab menjadi benteng negara terhadap ancaman sebegini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pada masa sama, beliau berkata usaha mewujudkan industri media yang bebas dan selamat sebenarnya boleh meningkatkan lagi keselamatan dan kestabilan politik negara menerusi penulisan berita yang benar dan objektif.
Media yang bebas juga dapat menyokong pembangunan sosioekonomi kerana pelabur asing lebih yakin untuk melabur di negara ini jika rakyat bersatu padu dan kedudukan kerajaan yang stabil, tanpa diganggu-gugat oleh berita palsu dan fitnah, kata Noor Nirwandy.
Bernama pada 13 Mei lepas, melaporkan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sebagai berkata pencapaian Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia itu diyakini mampu menjadi antara faktor yang meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap negara ini.
Menurut Fahmi, ini kerana pelaporan media tanpa berselindung merupakan antara kayu ukur pelabur asing sebelum mereka membuat keputusan meletakkan pelaburan lebih RM25 bilion untuk 10 tahun ke depan di negara ini.
INDEKS MEDIA MALAYSIA
Berpendapat pelbagai usaha perlu dilakukan oleh kerajaan dan setiap pihak berkepentingan bagi mewujudkan satu atmosfera media yang selamat, Noor Nirwandy berkata antara yang boleh dilakukan ialah melaksanakan pembaharuan dari segi elemen keselamatan kemanusiaan.
“Setiap wartawan akan mudah terdedah kepada pelbagai halangan, tidak kira dalam bentuk fizikal ataupun mental, termasuklah cabaran perubahan iklim sedunia yang turut memberi kesan kepada tugasan wartawan di lapangan.
“Kerajaan dan pihak berwajib perlu terus memperkasa prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan sedia ada yang perlu diamalkan wartawan yang bertugas di lapangan supaya keselamatan dan kebajikan mereka terus terjamin.
“Selain itu, kita juga perlu pastikan wartawan akan terus terpelihara daripada sebarang ancaman siber (dalam bentuk berita palsu, fitnah dan lain-lain) serta ancaman kecenderungan pihak-pihak tertentu untuk memberikan imej negatif kepada wartawan itu sendiri,” katanya.
Beliau pada masa sama mencadangkan kerajaan mewujudkan Indeks Media Malaysia sebagai mekanisme untuk pengamal media tempatan menilai keberkesanan mereka dalam menyampaikan maklumat benar kepada masyarakat selain mengukur tahap kebebasan dan kebajikan mereka.
SEGERAKAN PENUBUHAN MMM
Sementara itu, Pengasas Bersama Global Risk Journalism Hub Prof Madya Dr Sara Chinnasamy berpandangan kerajaan dan semua pihak berkepentingan industri media perlu konsisten dalam meningkatkan kredibiliti media arus perdana serta persepsi kepercayaan rakyat terhadap organisasi tersebut.
“Kenapa dan bagaimana kita hendak wujudkan kredibiliti ini? Banyak parameter boleh ditimbang, antaranya melalui usaha mengimbangi pemberitaan antara kerajaan dan pembangkang. Parameter ini tidak boleh diabaikan kerana ia antara tonggak utama yang menilai Indeks Kebebasan Media Dunia RSF di samping parameter lain seperti pemilikan media dan sebagainya.
“Bila ada unsur kredibiliti ini, tidak ada pihak yang akan merujuk sumber alternatif, iaitu pautan platform media lain yang biasanya mempunyai agenda tersembunyi, sering membawa unsur berita berbentuk sumber kedua serta banyak berita palsu yang mengelirukan dan menakutkan rakyat,” katanya.
kredit: https://www.getaran.my/artikel/rencana/47478/kebebasan-media-perlu-berdasarkan-perlembagaan-rukun-negara-pakar