Hutang FELDA: Syor dedah dokumen di Parlimen, elak rakyat keliru

-Foto ihsan FB FELDA

PUTRAJAYA: Polemik mengenai isu pelupusan hutang FELDA sehingga menimbulkan pelbagai pandangan dan tohmahan hanya mengakibatkan rakyat semakin keliru.

Di pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau tampil mengemukakan dokumen ditandatanganinya bagi meluluskan pelupusan hutang FELDA berjumlah RM8.3 bilion seperti dituntut Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara di pihak pembangkang, mereka mendakwa dokumen yang dikemukakan itu bukan bukti jelas pelupusan hutang berkenaan sebaliknya hanya perjanjian sukuk jaminan kerajaan yang diterbitkan secara berperingkat.

Bagi penganalisis politik daripada Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, cara terbaik menjernihkan kekeliruan itu adalah dengan mendedahkan semua dokumen berkaitan di Parlimen.

Katanya, hanya menerusi Parlimen, rakyat dapat melihat dan menilai segala dakwaan terbabit sesuai dengan kedudukannya sebagai badan perundangan negara.

“Isu hutang FELDA ini, kita lihat agak kontra antara dakwaan Perdana Menteri dan pembangkang dengan masing-masing mengatakan merekalah yang menyelesaikan isu pelupusan hutang ini.

“Sekarang kita agak buntu siapa yang bercakap benar tetapi perkara paling baik adalah mendedahkannya di Parlimen supaya tidak timbul kekeliruan kepada rakyat seperti sekarang,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) , Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata inisiatif Perdana Menteri mengemukakan dokumen itu membuktikan ketelusan dan akauntabiliti kepada tata kelola yang baik diamalkannya.

Beliau berkata, ia menunjukkan keterbukaan Perdana Menteri dalam membincangkan isu berkepentingan negara.

“Ini menjadi perkara perlu dicontohi dalam kalangan pemimpin termasuk pembangkang supaya isu berkepentingan negara diselesaikan dengan penuh hemah dan bijaksana dan bukan digunakan untuk meraih populariti tertentu dan berkisar kepada elemen kepartian.

“Perdana Menteri dengan penuh keterbukaan menunjukkan bagaimana ia boleh direalisasikan, menunjukkan bagaimana menandatangani itu berlaku dan seterusnya memperjelaskan bagaimana elemen kesinambungan dan keterbukaan dalam pentadbiran serta tata kelola mampu menyelesaikan polemik dan kemelut politik,” katanya.

Kredit: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/07/1129212/hutang-felda-syor-dedah-dokumen-di-parlimen-elak-rakyat-keliru

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan