KUALA LUMPUR: Persoalan sama ada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kekal atau gugur sebagai calon PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bulan depan, lebih bergantung pada pertimbangan politik, bukannya perundangan.
Ini kerana dari aspek perundangan, Menteri Besar Kedah itu tetap layak bertanding 12 Ogos depan dan boleh diangkat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) jika menang kerana beliau hanya baru dituduh di mahkamah.
Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berpandangan, penyandang kerusi DUN Jeneri itu tidak boleh dinafikan hak bertanding pilihan raya kerana nasibnya nanti bergantung pada hukuman yang bakal dikenakan mahkamah jika Pengarah Pilihan PAS Pusat itu didapati bersalah.
“Jadi bagi saya, sama ada PAS akan meletakkan beliau sebagai calon atau tidak, ia suatu faktor yang lebih kepada isu politik, bukannya bersifat perundangan. Muhammad Sanusi tidak boleh dihalang bertanding pilihan raya kerana beliau belum hilang kelayakan,” katanya kepada BH, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, keputusan akhir untuk meletak sesiapa sahaja sebagai calon PRN bergantung pada parti dan dalam kes Muhammad Sanusi, PAS serta Perikatan Nasional (PN).
“Dari segi perundangan, Muhammad Sanusi layak bertanding dan jadi ADUN (jika menang). Malah jika (PRN Kedah) dimenangi PAS bersama PN dan jika mereka ingin melantik beliau sebagai Menteri Besar, beliau tetap layak.
“Tiada halangan untuknya bertanding dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh menolak borang pencalonannya. Jika menang, beliau tetap jadi ADUN. Namun, setahun atau dua tahun kemudian, keadaan mungkin berubah.
“Jika mahkamah mendapati beliau bersalah dan mengenakan hukuman yang membolehkannya hilang kelayakannya (ADUN), maka baru kedudukannya sebagai ADUN gugur. Misalnya, jika didapati bersalah, tetapi hukuman hanya RM1,000, beliau tidak hilang kelayakan,” katanya.
Mengikut Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 47 (1)(e) Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah, seseorang ADUN boleh hilang kelayakan bagi jawatan itu sekiranya dijatuhi hukuman penjara 12 bulan atau lebih atau denda tidak kurang daripada RM2,000.
“Bagi kes ini (Muhammad Sanusi), ia jauh ‘pramatang’ kerana beliau berhak membela diri dan perbicaraannya juga belum pun bermula. Pihak pendakwaan perlu membuktikan kes melampaui keraguan munasabah untuk meyakinkan mahkamah bahawa beliau bersalah,” katanya.
Mohamed Haniff Khatri menyerahkan kepada PAS membuat keputusan kerana mungkin parti itu melihat isu Muhammad Sanusi boleh dijadikan bahan kempen untuk meraih simpati rakyat dan menunjukkan mereka dizalimi.
Penganalisis politik, Prof Dr Rusdi Omar pula menjangkakan PAS akan tetap mencalonkan Muhammad Sanusi untuk PRN akan datang kerana senario politik semasa memihak Menteri Besar Kedah itu.
“PAS sekarang bukan seperti dahulu, tidak kira Muhammad Sanusi ada kes atau tidak, saya lihat beliau akan tetap dicalonkan bertanding. Jika dilihat di Kedah, penyokongnya bukan berkurangan, tetapi semakin bertambah kerana kes berkenaan.
“Dalam keadaan sekarang, PAS perlu meletakkan calon muda (seperti Muhammad Sanusi) sebagai pelapis untuk meyakinkan rakyat,” katanya.
Bagi Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) , Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, pemilihan calon adalah keputusan mutlak PAS.
“Ia urusan PAS, pihak lain tak boleh campur tangan. Hanya pimpinan PAS boleh tentukan hala tuju politik mereka, termasuk isu calon PRN. Politik jadi berbahaya jika diletakkan elemen propaganda negatif, emosi dan keterbukaan tidak berlandaskan prinsip Perlembagaan dan Rukun Negara.
“Terpulang kepada PAS kerana ia adalah kuasa mutlak pimpinan menentukan hala tuju politik dan diharapkan perkara ini (kes Muhammad Sanusi) dapat dijadikan iktibar penting oleh semua rakyat Malaysia supaya tidak sesekali melanggar batasan,” katanya.
Kelmarin, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah merangkap Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Pusat, didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Selayang atas dua pertuduhan menghasut.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Hasutan, mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam ceramah politik, minggu lalu.
Muhammad Sanusi dituduh melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.
Kredit: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/07/1128717/prn-dilema-pas-kekal-atau-gugur-sanusi