J-KOM Perlu Fokus Diplomasi Media Baharu, Sering Dapatkan Maklum Balas

KUALA LUMPUR: Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) perlu memberi lebih tumpuan kepada komunikasi dan diplomasi melalui media baharu dalam menyampaikan maklumat berhubung agenda serta inisiatif kerajaan kepada rakyat.

Pada masa sama, maklum balas rakyat perlu sentiasa didapatkan bagi mengukur tahap kefahaman mereka, sekali gus membolehkan pendekatan yang lebih berkesan dilakukan serta menambah baik dasar sedia ada.

Penganalisis Keselamatan dan Politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata J-KOM perlu memastikan rakyat memahami aspirasi kerajaan melalui konsep Malaysia MADANI, yang menyentuh pelbagai aspek.

“J-KOM perlu menggunakan pendekatan berasaskan konsep yang menjadikan masyarakat sebagai wira mengikut kluster tumpuan dan menaikkan semangat patriostisme mereka.

“Elakkan daripada menggunakan pendekatan radikal dan ideologi kenegerian serta kepartian tegar, sebaliknya gunakan diplomasi media baharu serta gerak saraf perbandingan kepada kumpulan sasar.

“Ini bagi mendekati masyarakat dan membina persepsi kesamaan dalam membangunkan negara dengan positif,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas peranan yang perlu dimainkan J-KOM selepas jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu didakwa gagal dalam menyampaikan maklumat, terutama berkaitan inisiatif kerajaan kepada rakyat.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim, yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, menyarankan kerajaan menukar Ketua Pengarah J-KOM, Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, berikutan banyak manfaat dan insentif diperkenalkan kerajaan dalam membantu rakyat tidak diketahui masyarakat.

Marina berkata, kebanyakan ADUN, termasuk dirinya sering berhadapan isu masyarakat yang tidak mengetahui langsung manfaat dan insentif kerajaan bagi membantu mereka.

Ditanya sama ada kaedah sedia ada yang digunakan J-KOM dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat masih belum mencukupi, Noor Nirwandy berkata, jabatan itu boleh mempertimbang penambahbaikan untuk kepentingan rakyat dan negara.

“Penyampaian itu harus merangkumi elemen gerak, struktur dan pelaksanan perang saraf. Ia harus bersifat pengkhususan kepada masyarakat secara bersasar.

“Ia tidak harus membabitkan elemen berbentuk negatif kerana matlamatnya adalah untuk rakyat mendapat maklumat mengenai dasar kerajaan,” katanya.

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email