Bagaimanapun, penganalisis berkata solidariti terhadap penindasan kemanusiaan khususnya isu Palestin memerlukan kerjasama semua pihak.
PETALING JAYA: “Ugutan” yang diterima Perdana Menteri Anwar Ibrahim susulan kelantangan memperjuangkan isu Palestin membuktikan ‘suara’ Malaysia didengari oleh negara luar, kata penganalisis.
Pakar Geostrategi dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Azmi Hassan berkata, ancaman itu menunjukkan bantahan Malaysia terhadap konflik Palestin-Israel adalah efektif.
“Saya melihat isu ini dari sudut positif, kalau negara kecil seperti Malaysia mendapat perhatian hingga pemimpinnya “diugut” supaya mengendurkan bantahan berbentuk pro Palestin, maknanya apa kita buat itu efektif.
“Kalau banyak negara kecil seperti Malaysia suarakan bantahan itu, ia akan menjadi lebih efektif,” katanya kepada FMT.
Dalam Himpunan Malaysia bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, kelmarin, Anwar mendedahkan beliau menerima “ugutan” daripada ahli Parlimen Eropah, berhubung kelantangan Malaysia mengkritik kekejaman Israel di Palestin.
Bagaimanapun katanya, selagi diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat, beliau selaku ketua kerajaan tidak akan tunduk dan gentar sebarang ugutan.
Sementara itu, penganalisis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin mengakui isu itu akan mengundang tekanan diplomasi terhadap Anwar yang berbeza pendirian dengan pemimpin kuasa besar dunia pro Israel.
“Bagaimanapun isu ini tak harus dipolitikkan, Malaysia memang terkenal dengan diplomasi berbentuk awam berkepentingan, negara Islam dan konsisten mengecam elemen penindasan hak kemanusian khususnya rakyat Palestin yang ditindas di Gaza,”katanya.
Katanya, Malaysia adalah negara yang mempunyai sistem diplomasi awam terbaik khususnya dalam memperjuangkan Islam dan hak kemanusiaan.
“Malaysia dihormati dan sering jadi rujukan melibatkan isu umat Islam di seluruh dunia,” katanya sambil menjelaskan, solidariti terhadap penindasan kemanusiaan memerlukan kerjasama semua pihak.
Kredit: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/10/26/ugutan-isu-palestin-tanda-bantahan-malaysia-dapat-perhatian-kata-pakar/