Tangani Notis Tatatindak Dengan Diplomasi Tanpa Jejas Prinsip Malaysia

LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.

Kuala Lumpur: Penerimaan tiga notis tatatindak daripada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) kerana keengganan negara menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas perlu ditangani dengan baik dan penuh diplomasi tanpa menjejaskan prinsip dan keberanian Perdana Menteri serta suara rakyat.

Penganalisis Keselamatan dan Politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, notis demarche ini ataupun tatatindak adalah salah satu elemen yang dipanggil sebagai satu bentuk perhubungan diplomasi ataupun boleh juga dikatakan satu bentuk hubungan tindakan dan tekanan diplomasi berhubung isu antarabangsa, global dan berkaitan sesuatu kerajaan di mana dalam hal ini merujuk hubungan konflik Palestin dan Israel.

Menurutnya, tindakan AS menghantar tiga notis itu jelas bagi menyatakan pendirian mereka berhubung isu berlaku di Palestin.

“Ini juga perlu dilihat sebagai tindakan diplomasi dan tekanan diplomasi terhadap sokongan kerajaan kepada isu Palestin dan khususnya penentangan Hamas serta tekanan dilakukan Israel ke atas umat Islam di Palestin.

“Ia jelas menunjukkan pendirian Perdana Menteri yang amat berprinsip memperjuangkan nasib umat Islam di Palestin dengan berani serta lantang bersuara,” katanya kepada Harian Metro ini.

Noor Nirwandy berkata, rakyat Malaysia harus berani mempertahankan apa yang disuarakan Perdana Menteri di mana AS perlu menghormati pendirian Malaysia bagi memberi mesej jelas kepada kuasa dunia bahawa isu Palestin-Israel perlu diselesaikan dengan baik.

“Isu ini berlaku sudah lama di mana serangan dilakukan Israel jelas membelakangkan undang-undang serta kepentingan kemanusiaan,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Malaysia menerima tiga notis tata tindak daripada Kedutaan AS kerana keengganan negara menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas.

Perdana Menteri dilapor berkata, dua notis yang dipanggil demarche itu diterima Kementerian Luar masing-masing pada 13 dan 30 Oktober lalu, manakala satu notis lagi tidak dinyatakan tarikhnya.

“Oleh kerana keengganan kita membantah tindakan Hamas dan tidak menganggap Hamas sebagai pengganas, saya mendapat maklumat melalui Kementerian Luar sudah menerima demarche iaitu tata tindak daripada Kedutaan AS sebanyak tiga kali,” katanya dipetik.

Kredit: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/11/1025928/tangani-notis-tatatindak-dengan-diplomasi-tanpa-jejas-prinsip-malaysia

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan