PRK Kemaman: Isu tempatan dijangka kurang dibangkitkan

Calon BN PRK Kemaman Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (depan kanan) dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dari PAS selepas proses penamaan calon berakhir semalam. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Isu tempatan dijangka kurang dibangkitkan pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman berikutan masyarakat kini tertumpu kepada isu konflik di Palestin.

Malah, penganalisis politik berpandangan ketika ini masyarakat tidak cenderung kepada politik tempatan kesan konflik di Gaza yang mendapat tumpuan masyarakat dunia.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata sudah tentu isu konflik dan kekejaman terhadap umat Islam di Palestin yang menjadi perhatian.

Katanya, dalam suasana selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika ini, masyarakat sudah tidak lagi dalam ‘mood’ untuk mengikut isu politik tempatan.

“Saya kira kelantangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu Palestin sudah tentu mendapat perhatian.

“Ini sudah tentu memberikan sentimen yang baik kepada Kerajaan Perpaduan atau dalam konteks PRK ini, adalah Barisan Nasional (BN).

“Secara keseluruhan, rakyat akan pasif dan tidak berminat berbicara isu politik. Sebaliknya, kempen kali ini tertumpu kepada sokongan penyokong kuat parti PAS dan UMNO- BN,” katanya kepada BH ketika ditanya mengenai isu yang bakal mendapat perhatian dalam kempen PRK Kemaman.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pada PRU15, Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi manakalal calon Pakatan Harapan Hasuni Sudin (8,340) dan calon Pejuang Rosli Ab Ghani (506).

PRK Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PAS Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan calon BN, bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Mengenai pencalonan Menteri Besar yang dilihat menyekat kepemimpinan negeri, Noor Nirwandy berkata ahli politik kena beri ruang kepada kepemimpinan baharu dengan kepelbagaian latar belakang dalam kalangan profesional atau teknorat.

Katanya, memang diakui ada beberapa negeri yang memperlihatkan ahli politik mewakili Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, namun muka baru perlu diberikan peluang sebagai suntikan politik semasa.

“Kesanggupan dan keberanian BN meletakkan bekas Panglima Angkatan Tentera sebagai calon, adalah satu lonjakan untuk mewujudkan kepelbagaian dalam barisan kepemimpinan.

“Sudah tentu langkah itu yang baik kerana mewujudkan watak baru yang ada ketokohan dalam disiplin baru kepemimpinan dan tidak dimonopoli kumpulan tertentu saja,” katanya.

Credit: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/11/1178954/prk-kemaman-isu-tempatan-dijangka-kurang-dibangkitkan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan