Pilihan Raya PBT Dikhuatiri Perluas Polarisasi Kaum, Runcingkan Semangat Perkauman

Laporan BH hari ini berkait gesaan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai supaya kerajaan mengembalikan semula pilihan raya PBT di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Syor supaya pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) dilaksanakan di Kuala Lumpur, dikhuatiri meluaskan polarisasi kaum dan meruncingkan lagi semangat perkauman dalam kalangan penduduk.

Justeru, penganalisis berpandangan, kerajaan tidak perlu terburu-buru dengan cadangan itu dan tidak perlu juga mewujudkan dasar yang boleh menimbulkan keadaan kurang selesa dalam kalangan masyarakat serta pentadbiran.

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, berkata mekanisme sedia ada dalam pemilihan ahli majlis PBT ketika ini sudah memadai.

“Mekanisme itu boleh ditambah baik bagi memastikan calon yang diberikan mandat, benar-benar berkaliber dan mampu mengemudi agensi,” katanya kepada BH semalam.

Beliau berkata, dalam membentuk agensi berkepentingan kerajaan dan awam, struktur pentadbirannya perlu diwakili mereka yang berdedikasi dan berpengalaman, bukan berdasarkan populariti dalam kalangan masyarakat sahaja.

“Apa yang perlu dilakukan adalah memastikan mereka yang memegang jawatan itu mempunyai kelebihan dan terbukti berkesan melaksanakan tanggungjawab, bukan berdasarkan populariti semata-mata,” katanya.

Semalam, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai menggesa kerajaan mengembalikan semula pilihan raya PBT di peringkat bandar raya Kuala Lumpur, susulan rombakan Kabinet baru-baru ini yang menyaksikan pembentukan portfolio Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ahli Parlimen Cheras itu ketika berucap pada Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan dilaporkan berkata, desakan secara konsisten parti itu supaya memansuhkan Kementerian Wilayah sebelum ini adalah bagi mengelakkan campur tangan politik dalam pentadbiran di bandar raya berkenaan.

Pilihan raya PBT di Malaysia digantung pelaksanaannya pada 1960-an dan diganti dengan sistem lantikan ketua, di mana jawatan datuk bandar atau yang dipertua, termasuk ahli majlis dibuat oleh kerajaan negeri.

Ketika ini, lantikan bagi peringkat komuniti seperti pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), ketua kampung dan ahli majlis PBT dibuat kerajaan negeri, manakala lantikan ahli Dewan Negara oleh negeri dan Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan pula berkata, berdasarkan sistem sedia ada, jawatan ahli majlis PBT dibuat secara lantikan dengan mengambil kira beberapa faktor seperti kepentingan penduduk dan parti politik.

Mengakui pilihan raya menggambarkan demokrasi yang subur, beliau menegaskan, dengan kuasa yang diberikan sepenuhnya kepada penduduk bagi memilih ahli majlis PBT, ia dilihat akan memberi kelebihan kepada calon dari kaum majoriti di kawasan PBT berkenaan.

“Jika pilihan raya PBT diadakan, 100 peratus kuasa akan diberikan kepada penduduk. Secara hakikinya, itu yang sebaiknya, tapi masalahnya dalam PBT, kita tahu siapa kumpulan majoriti dan pastinya mereka akan mengundi mengikut cita rasa kaum mereka, bukan cita rasa parti politik atau daripada kerajaan.

“Jadi, ini akan meluaskan polarisasi, merenggangkan hubungan dan meruncingkan lagi perkauman, Justeru, isu ini sepatutnya tidak ditimbulkan,” katanya sambil menegaskan DAP menimbulkan isu berkenaan yang mungkin memakan diri parti itu.

“Jika harus dipinda Akta Kerajaan Tempatan 1976, ia hanya memerlukan majoriti mudah, namun adakah ahli Parlimen parti mewaili Melayu akan memberi sokongan. Adakah ahli Parlimen, terutama daripada UMNO akan menyokong?” katanya.

Justeru, beliau melihat cadangan DAP itu lebih bertujuan memperjuangkan manfaat kepada penyokong parti berkenaan berbanding memperjuangkan demokrasi kerana kebanyakan kawasan di Kuala Lumpur, majoriti penduduk adalah orang Cina.

“Pilihan raya yang memberi kuasa undi tidak semestinya baik kerana faktor lain juga perlu dilihat, terutama sekali komposisi PBT itu,” katanya.

Kredit: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/12/1190519/pilihan-raya-pbt-dikhuatiri-perluas-polarisasi-kaum-runcingkan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan