Usah terjebak interpretasi darurat politik berkepentingan

0123rspkpd 1611887407
0123rspkpd 1611887407

Pengendalian banjir pelbagai agensi kerajaan dilaksanakan dengan baik. Ramai orang perseorangan dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut serta membantu mereka yang terkesan dalam bencana ini.

Yang di-Pertuan Agong turut mencemar duli turun padang melawat mangsa banjir, meringankan beban rakyat.

Arahan 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung dasar dan mekanisme pengurusan bencana negara adalah manual keselamatan diguna pakai dalam menangani permasalahan banjir dalam negara.

Ia terbukti berkesan dan kini hampir seluruh kawasan dalam fasa pemulihan

Dalam suasana kritikal pasca pemulihan banjir dan peningkatan kes COVID-19 yang agak mendadak, keselamatan politik negara terus menjadi agenda perbincangan nasional.

Pembentukan kerajaan oleh Perikatan Nasional (PN) hampir bukan lagi menjadi kisah kejayaan kerana perdebatan politik khususnya dalam kalangan dominasi parti Melayu-Islam mula mewarnai perbincangan politik negara.

Pergeseran dalaman dominasi parti politik Melayu-Islam bukan lagi rahsia, malah masyarakat mula membincangkan isu ini secara terbuka, termasuk di media sosial.

Majoriti masyarakat Melayu-Islam melihat perbalahan dalaman sebagai satu ancaman perpaduan dominasi politik Melayu-Islam yang perlu dihentikan.

Dalam negara menghadapi perang asimetri COVID-19, Yang di-Pertuan Agong melalui Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan mengisytiharkan darurat.

Pengisytiharan darurat adalah melalui kuasa diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh disemak atau dicabar di mana-mana mahkamah tertentu seperti termaktub dalam perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan.

Asas utama pengisytiharan darurat adalah berlakunya apa-apa yang boleh menjejaskan keselamatan awam, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam yang tidak boleh dikawal melalui pentadbiran biasa.

Pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong amat penting bagi memastikan graf penularan COVID-19 dalam negara dapat diratakan. Dengan kadar kebolehan jangkitan amat tinggi ketika ini, pengisytiharan darurat amat penting bagi membolehkan fokus sepenuhnya diberikan untuk mengatasi pandemik.

Keselamatan kesihatan dalam pandemik berkaitan keselamatan ekonomi, malahan keselamatan politik pada ketika ini memburukkan keadaan apabila pergolakan tidak berkesudahan khususnya dalam kalangan dominasi politik Melayu-Islam mula memuakkan masyarakat.

Politik ialah amalan demokrasi matang dan keterbukaan adalah inti pati utama sistem demokrasi negara. Namun, dalam keadaan negara menghadapi pandemik COVID-19, keutamaan rakyat dan keselamatan negara harus diutamakan.

Sebarang politik subjektif berkepentingan individu dan kepartian harus ditolak masyarakat. Walaupun negara mengalami sembilan pengisytiharan darurat sejak zaman menentang komunis hinggalah darurat berasaskan keutamaan keselamatan kesihatan ketika ini, inilah kali pertama darurat berlaku dalam era dinamisme komunikasi media sosial serta keterhubungan internet tinggi.

Media sosial sebagai platform komunikasi utama masyarakat membuka ruang penterjemahan, pemahaman dan penafsiran darurat dalam konteks kefahaman masing-masing.

Masyarakat perlu berhati-hati dan memahami darurat dari sudut pemahaman berasaskan Perlembagaan Persekutuan bukan daripada aspirasi ahli politik berkepentingan peribadi dan kepartian melampau.

Asas keselamatan negara, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam ialah tema garis perbincangan dalam media sosial dan bukanlah emosi politik yang dipermudahkan dengan pemahaman logik yang tidak meletakkan kepentingan negara sebagai asas perbincangan secara konsisten.

Sekumpulan ahli politik mula mempersoalkan kewajaran darurat berdasarkan interpretasi masing-masing. Ada yang menyuarakan dalam konteks undang-undang melalui hujah berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, menyatakan langkah pengawalan pandemik mencukupi dan membandingkan dengan keupayaan negara lain yang mengawalnya 19 tanpa pengisytiharan darurat.

Namun, segala perbandingan dan hujahan yang mungkin berkaitan dengan kepentingan kepartian dan individu harus dinilai dengan teliti oleh rakyat, demi kepentingan semua bukannya kepada kepentingan politik.

Dalam keadaan tempoh darurat berlangsung, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) harus membentuk kumpulan sokongan daripada pelbagai kepakaran untuk mencipta inovasi khususnya berasaskan ekonomi dan inovasi modul keselamatan bagi menangani kesan perang asimetri COVID-19.

Inilah antara tanggungjawab hakiki ahli politik negara mewakili masyarakat setempat. Secara kolektif, sekiranya ia berlaku, maka keselamatan politik menerusi kesedaran dan pengawalan kendiri ahli politik negara dapat mewujudkan kestabilan politik dalam negara.

Justeru, masyarakat diharapkan tidak terjebak pengisytiharan darurat yang dijadikan polemik politik dan cubaan segelintir Ahli Parlimen yang cuba mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam pengisytiharan darurat.

Kestabilan politik, keselamatan kesihatan dan ekonomi adalah perkara yang berkait rapat dalam memastikan negara dapat mengatasi pandemik secara bersama.

Idea konstruktif untuk membina negara boleh diberikan kepada pihak berwajib, malah jika perlu Yang di-Pertuan Agong melalui peruntukan 150(2B) mempunyai kuasa untuk membentuk ordinan bersesuaian dalam mengatasi permasalahan rakyat.

Ordinan berkaitan permasalahan ekonomi seperti kecairan tunai rakyat dan sistem percukaian lebih efektif tanpa ketirisan seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST) antara inovasi yang boleh disuarakan, sekali gus dipersetujui rakyat.

Di samping itu, pengurusan sistem pentadbiran bebas rasuah, mempermudahkan sistem perniagaan dan penjaja, pengurangan permulaan monopoli warga asing dalam sektor peruncitan dan pembekalan perkhidmatan serta barangan dan pelbagai segmen berteraskan kepentingan rakyat, boleh dilaksanakan.

Isu berkaitan kepentingan masyarakat Islam seperti status halal dan haram pembekalan dan pemborongan makanan daging beku dalam negara juga boleh diselesaikan.

Perincian sistem agihan zakat dan pembentukan tabungan cairan tunai rakyat secara strategik juga boleh dibangunkan dengan pelbagai cetusan idea rakyat yang seharusnya berdiri teguh bersama Yang di-Pertuan Agong bagi merancakkan inovasi pemulihan keselamatan kesihatan dan ekonomi rakyat secara ikhlas dan bersama.

Dr Noor Nirwandy Mat Noordin

Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Artikel Berkaitan