Kuala Lumpur: Aktivis Rohingya di seluruh dunia dinasihatkan supaya menumpukan usaha mendesak Myanmar memulihkan hak serta kewarganegaraan etnik itu, bukannya menuding jari kepada negara yang menyediakan perlindungan sementara kepada komuniti berkenaan.
Pakar Perang Saraf serta Penganalisis Keselamatan dan Politik, Prof Madya Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kritikan aktivis Rohingya, Noor Azizah terhadap Malaysia baru-baru ini amat dikesali kerana boleh mencetuskan spekulasi dan sensitiviti dalam kalangan rakyat negara ini.
“Masyarakat Rohingya perlu memahami bahawa Malaysia tidak mempunyai tanggungjawab mutlak terhadap mereka, namun tetap memberikan perlindungan sementara atas dasar kemanusiaan ketika krisis di Myanmar masih berlarutan.
“Aktivis Rohingya perlu menghormati Malaysia, sentimen rakyatnya, kesabaran masyarakat serta diplomasi negara yang memberikan perlindungan sementara kepada mereka sehingga isu ini dapat diselesaikan,” katanya.
Terdahulu, ucapan Noor Azizah yang tular di media sosial sejak semalam mengundang kecaman warganet selepas beliau membangkitkan isu nasib pelarian Rohingya di beberapa negara termasuk Malaysia.
Mengulas lanjut, Noor Nirwandy berkata, Malaysia selama ini terkenal sebagai antara negara yang lantang memperjuangkan keamanan dan keadilan sejagat, termasuk dalam isu membabitkan pelarian serta masyarakat yang tertindas.
“Tidak banyak negara yang sanggup menyediakan ruang perlindungan sementara seperti yang diberikan Malaysia kepada komuniti Rohingya sepanjang konflik berlarutan di Myanmar.
“Aktivis Rohingya seharusnya berterima kasih kepada negara seperti Malaysia, yang memberikan perlindungan sementara kepada mereka, bukannya menuding jari atau mencari kesalahan negara-negara ASEAN yang selama ini membantu,” katanya.
Menurutnya, perjuangan utama aktivis Rohingya sepatutnya tertumpu kepada usaha mendapatkan semula hak dan kewarganegaraan mereka di Myanmar, bukannya mewujudkan persepsi negatif terhadap negara yang membantu mereka.
“Platform antarabangsa seharusnya digunakan untuk meningkatkan tekanan diplomatik terhadap Myanmar supaya hak masyarakat Rohingya dapat dipulihkan di negara asal mereka.
“Negara seperti Australia dan negara Barat lain juga perlu memainkan peranan lebih besar dengan memberikan tekanan diplomatik secara berterusan terhadap Myanmar supaya penyelesaian jangka panjang dapat dicapai.
“Semua pihak perlu mengelakkan kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan atau salah faham antara komuniti Rohingya dengan masyarakat di negara penerima kerana ia hanya akan menjejaskan usaha mencari penyelesaian yang lebih menyeluruh terhadap krisis berkenaan,” katanya.
Kredit: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/06/1370391/aktivis-rohingya-dinasihat-desak-myanmar-pulih-hak-bukan-tuding-jari-kepada











