Kuala Lumpur: Isu pelarian Rohingya di Malaysia ibarat ‘bom jangka’ yang menanti masa untuk meletus sekiranya tidak ditangani dengan tuntas.
Pakar Perang Saraf dan Penganalisis Keselamatan dan Politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, isu itu perlu diberi perhatian khusus kerana sudah berlarutan sejak sekian lama.
“Isu pelarian Rohingya dalam negara ini harus dilihat sebagai salah satu isu yang perlu diberikan pengkhususan khas, kerana ia bukan isu yang baru diperkatakan dan semakin lama isu ini menjadi satu bom jangka.
“Jika tidak ditangani boleh memberikan satu bentuk tekanan dan juga satu bentuk keadaan yang boleh mewujudkan suasana tegang, khususnya di antara masyarakat tempatan juga masyarakat Rohingya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro tadi.
Menurutnya, ‘pertembungan’ isu membabitkan keberadaan pelarian Rohingya di negara ini menimbulkan keresahan sosial dan ekonomi sehingga menjadi satu kebimbangan dalam hala tuju masa depan negara sekiranya dibiarkan tanpa penyelesaian.
Katanya, banyak cadangan sudah dilontarkan kepada pihak kerajaan justeru pihak berwajib perlu merangka langkah pengawalan keselamatan dan kerangka kerja yang bersepadu diperlukan bagi menangani isu ini.
“Namun, isu ini memang sukar untuk diselesaikan. Malaysia tidak boleh mengambil Rohingya sebagai tanggungjawab kita. Malaysia perlu mendesak melalui ASEAN supaya pelarian Rohingya ini dikembalikan kerakyatan mereka oleh kerajaan Myanmar.
“Individu tanpa kerakyatan ini memilih Malaysia atas faktor masyarakat tempatan yang berdiplomasi dan keadaan negara kita yang sejahtera dilihat mudah untuk membina penempatan di sini.
“Namun, asasnya adalah Rohingya ini mereka perlu dikeluarkan daripada negara kita secara berkala melalui tekanan-tekanan diplomasi,kerjasama strategik ASEAN dan transisi untuk menghantar Rohingya ke negara ketiga,” katanya.
Noor Nirwandy berkata, nilai kemanusiaan perlu diangkat namun kedaulatan negara merupakan satu perkara yang tidak boleh dikompromi.
“Lambakan pelarian Rohingya juga boleh menggugat kepentingan masyarakat berpendapatan rendah terutamanya dalam sektor kebajikan kesihatan, pengangkutan awam serta sektor lain yang sepatutnya dinikmati dengan lebih baik oleh rakyat Malaysia.
“Had subsidi dalam negara juga perlu diperketat kan dengan meluaskan jaluran identifikasi kad pengenalan dalam pembelian barang keperluan asas termasuk pengangkutan awam negara,” katanya.











