KUALA LUMPUR: Umat Islam digesa mengambil pendekatan propaganda putih sebagai protes rentetan kekejaman zionis Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza.
Pensyarah Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, dengan kaedah itu, ia akan memberi kesan positif kepada seluruh umat Islam dan bukan Islam dengan menunjukkan solidariti terhadap perjuangan penduduk di Palestin.
Jelasnya, ketibaan Syawal dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketiga dilihat sebagai masa yang sesuai untuk seluruh rakyat negara ini dan umat Islam bergabung kekuatan dengan membuat sohor kini propaganda putih melalui perkongsian fakta, video, imej, infografik untuk mengecam tindakan Israel di media sosial.
“Israel juga sedang rancak menggunakan kaedah sama propaganda, diplomasi awam dan lain-lain aspek perang saraf di dalam media sosial secara strategik untuk menghalalkan kekejaman mereka terhadap umat Islam Palestin.
“Justeru umat Islam dunia boleh melakukan perkara yang sama dan membuktikan solidariti terhadap saudara kita melalui gelombang kebersamaan media sosial anti kekejaman Israel.
“Ketibaan syawal harus disambut dengan kemenangan dan kemenangan umat Islam memenangi perjuangan menentang hawa nafsu d bulan Ramadhan harus diteruskan dengan memberikan sokongan moral dan menterjemahkan bantahan dalam konteks propaganda putih media sosial,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Propaganda putih merujuk kepada kaedah perhubungan awam sebagai kesedaran orang ramai tentang sesuatu tindakan dilakukan untuk mempengaruhi sesuatu pihak dan selalunya tidak membawa takrifan negatif.
Noor Nirwandy berkata demikian susulan laporan media antarabangsa berhubung konflik antara Israel yang terus melancarkan serangan udara terhadap Gaza, Palestin sehingga hari ini.
Ketegangan antara kedua-dua negara tersebut yang bermula sejak Isnin lalu, semakin meningkat sehingga Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran ia bakal mencetuskan peperangan secara besar-besaran.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, setakat ini, sekurang-kurangnya 67 orang termasuk 14 kanak-kanak maut manakala 388 penduduk cedera dalam serangan udara tentera Israel di Gaza.
Siri keganasan itu meletus selepas konflik Israel-Palestin meningkat di Baitulmuqaddis Timur berikutan pasukan keselamatan Israel menyerbu Masjid Al-Asqa dan menyerang penduduk Palestin.
Artikel Asal:https://www.utusan.com.my/berita/2021/05/propaganda-putih-sebagai-protes-kekejaman-israel/